SUKAN

EWC MWI 2026: Team Rey Young Sasar Juara

11/06/2026 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara Team Rey Young menyasarkan untuk muncul juara pada Kejohanan Piala Dunia Esukan (EWC) MLBB Women’s Invitational (MWI) 2026 pada Julai ini.

Jurulatih pasukan Divaan Nagaraju atau lebih dikenali sebagai Frost berkata anak buahnya tidak berhasrat untuk sekadar melengkapkan penyertaan di kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung di Paris, Perancis.

“Saya tidak ke sana (EWC) untuk sekadar berseronok. Saya mahu bawa pemain sejauh mungkin dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Frost berkata sasaran itu tidak mustahil memandangkan pasukannya berjaya mencipta kejutan pada pusingan kelayakan sebelum ini.

“Saya merasakan mereka lebih bersedia untuk menghadapi kejohanan di Paris dan berhasrat untuk menang. Semangat ini akan membantu kami untuk memperoleh keputusan terbaik,” katanya. 

Sementara itu roamer Team Rey Young Chloe Chong (Qiiboy) turut memasang impian untuk membantu pasukan menjadi juara kejohanan tersebut.

Qiiboy yang pernah beraksi di pentas sama pada edisi 2024 dengan pasukan berbeza berkata pengalaman itu memberikan keyakinan kepadanya untuk tampil lebih kompetitif kali ini.

“Fokus kami ialah untuk terus memperbaik prestasi dan meningkatkan tahap permainan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567310