KUALA LUMPUR, Jun 11 (Bernama) -- Pasaran saham Malaysia terus menunjukkan daya tahan dan kekal menarik minat yang tinggi meskipun berdepan cabaran rantaian bekalan dan geopolitik global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata keyakinan terhadap pasaran modal tempatan itu dapat dilihat menerusi sekurang-kurangnya 30 penyenaraian baharu ataupun tawaran awam permulaan (IPO) bagi 2026.
Meskipun berdepan dengan cabaran, pasaran saham ini masih berpotensi dalam menarik minat pelabur yang masih mencari peluang dalam negara kita, katanya pada sesi jaringan syarikat Bumiputera anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) hari ini.
Beliau turut memaklumkan sebuah syarikat Bumiputera dijangka disenaraikan di pasaran saham minggu depan.
TERAJU, agensi di bawah Kementerian Ekonomi menyasarkan antara 10 hingga 20 syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2030 menerusi sokongan dan pemerkasaan berterusan, katanya.
Sasaran itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal serta meningkatkan daya saing mereka di peringkat lebih tinggi.
Menurut Akmal Nasrullah, TERAJU menerusi Program Accelerate akan memainkan peranan penting dalam membimbing syarikat Bumiputera secara lebih bersasar, termasuk dari aspek pembiayaan, tadbir urus dan strategi perniagaan.
“Apabila sesebuah syarikat mencapai tahap tertentu, pendekatan umum tidak lagi memadai. Kita perlu bersasar, sepadan dengan keperluan serta potensi syarikat berkenaan, termasuk dari segi pendanaan dan sokongan pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Putera35 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pemilikan, malah memperkukuh penguasaan pasaran dan daya saing syarikat Bumiputera di peringkat serantau serta antarabangsa.
Dalam satu kenyataan media, Akmal Nasrullah berkata daripada 97 penyenaraian baharu yang direkodkan dalam tempoh tiga tahun lepas, hanya satu melibatkan syarikat milik majoriti Bumiputera, manakala kira-kira tujuh peratus sahaja daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia merupakan syarikat Bumiputera.
Perkembangan tersebut menunjukkan keperluan kepada pendekatan yang lebih tersusun dan strategik bagi meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam ekosistem pasaran modal negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata pencapaian program-program agensi itu sepanjang 2025 membuktikan asas pembangunan ekosistem Bumiputera yang semakin kukuh.
"Mandat TERAJU jelas iaitu membina ekosistem pembangunan Bumiputera yang mampan, inklusif dan berdaya saing. Pencapaian 2025 ini menjadi asas yang kukuh kepada usaha memperkasa penciptaan nilai Bumiputera.
"Empat program baharu yang dilancarkan tahun ini pula akan membantu syarikat-syarikat Bumiputera melangkah ke peringkat seterusnya, termasuk penyenaraian awam dan pengembangan ke pasaran serantau," katanya.
-- BERNAMA