EKONOMI

Malaysia, ASEAN Raih Limpahan Manfaat Piala Dunia FIFA 2026

11/06/2026 12:23 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 memberikan limpahan manfaat kepada Malaysia terutama dalam sektor perdagangan digital, penggunaan media, pembayaran, logistik dan perniagaan rentas sempadan, kata ahli perbankan terkemuka.

Eksekutif Negara di Bank of America Malaysia, Gautam Puntambekar berkata manfaat ekonomi kepada Malaysia dan negara ASEAN lain akan terhasil daripada peningkatan aktiviti ekonomi serta peluang yang wujud menerusi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berjumlah US$41 bilion (US$1 = RM4.06) serta penciptaan 800,000 pekerjaan yang dijana oleh kejohanan bola sepak itu.

Dalam temu bual secara maya bersama Bernama dari New York, Amerika Syarikat (AS), beliau berkata kesan pengganda Piala Dunia jauh melangkaui sektor pelancongan, hospitaliti dan penjualan tiket.

Ini kerana kejohanan terbesar dunia itu turut merangsang perbelanjaan dan aktiviti perniagaan merentas pelbagai sektor dan pada masa sama melonjakkan kesalinghubungan global dan peluang komersial, katanya.

Sepak mula Piala Dunia edisi 2026 akan berlangsung pada Khamis 11 Jun dan sehinggalah tiupan wisel penamat pada Ahad, 19 Julai, dianjurkan bersama tiga negara iaitu Kanada, Mexico serta AS.

Sebanyak 48 pasukan akan beraksi kali ini, berbanding 32 pasukan pada edisi terdahulu, dengan saingan hampir enam minggu itu akan bermula antara Mexico dan Afrika Selatan di Stadium Azteca, Mexico City iaitu pada Jumaat, 12 Jun waktu Malaysia, bersamaan 14 jam lebih awal daripada waktu di bandar Amerika Selatan itu.

Kejohanan bola sepak dunia itu dijadualkan berakhir di Stadium MetLife, New Jersey, AS.

Bank of America mencipta sejarah apabila buat kali pertama menjadi Penaja Bank Rasmi bagi Piala Dunia FIFA edisi ke-23.

Walaupun berada jauh dari segi geografi serta mengalami perbezaan zon waktu, namun Puntambekar yakin peluang ekonomi masih besar untuk Malaysia dan negara ASEAN lain memandangkan bola sepak mempunyai jumlah peminat yang sangat besar di rantau ini walaupun tiada pasukan dari ASEAN berjaya menempah tiket ke Piala Dunia.

Sebagai penyokong setia Argentina dan bintang bola sepak negara itu Lionel Messi, beliau mengakui misi mempertahankan kejuaraan bukan tugas mudah.

“Saya masih setia menyokong Argentina dan amat berharap pasukan ini dapat menjulang kejuaraan itu buat kali kedua berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata dalam era ekonomi yang dipacu digital dan kecerdasan buatan (AI), Piala Dunia bukan sekadar perlawanan di atas padang sebaliknya menjadi penjana permintaan di seluruh penggunaan kandungan, produk pengguna, pemasaran, pembayaran, perkhidmatan pertukaran mata waang asing, infrastruktur digital dan rantaian bekalan.

Semua itu meraih limpahan manfaat daripada peningkatan keterlibatan peminat, kempen komersial dan transaksi digital, katanya,

“Semua itu mewujudkan dorongan untuk peminat menonton perlawanan bukan hanya menerusi televisyen malah juga melalui telefon pintar.

“Gabungan semangat peminat tegar, tontonan secara sosial dan keterlibatan digital itulah yang mendorong limpahan manfaatnya yang dilihat menerusi penggunaan media, perdagangan digital, nilai penajaan dan transaksi rentas sempadan, walaupun pasaran itu berada jauh dari venue kejohanan,” katanya.

 

Ekonomi Digital dan Trend Industri Bola Sepak

Beliau berkata impak kejohanan turut melangkaui sukan apabila melibatkan teknologi sekali gus meningkatkan kepentingan daya tahan siber serta mengetengahkan peranan AI, identiti digital, infrastruktur awan dan analisis masa nyata yang semakin berkembang dalam perdagangan moden.

“Ini merupakan demonstrasi secara langsung mengenai cara perdagangan, teknologi dan budaya boleh bergabung serta bergerak seiring mengikut hala tuju yang sama,” katanya.

Menurut Research and Markets iaitu penyedia penyelidikan pasaran terbesar di Ireland, pasaran bola sepak global bernilai US$3.5 bilion pada 2025 dan diunjurkan mencecah US$4.8 bilion menjelang 2034, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 3.32 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2034.

Puntambekar berkata jumlah penonton Liga Super Malaysia meningkat lebih 20 peratus dalam tempoh dua musim lepas kepada hampir 24 juta tontonan, didorong oleh jumlah peminat setia sebanyak 8.2 juta sekali gus membuktikan populariti bola sepak tempatan yang tinggi dalam kalangan warga Malaysia.

Dalam konteks ini, Bank of America melihat kerjasamanya dengan FIFA sebagai peluang untuk menyokong infrastruktur kewangan yang menjadi tunjang kepada antara acara sukan terbesar di dunia itu, katanya.

Beliau berkata sebagai penaja rasmi FIFA, peranan pihaknya turut melangkaui kebolehlihatan terhadap jenama.

Kerjasama itu menumpukan kepada impak komuniti dan infrastruktur kewangan serta membantu menghubungkan peminat dengan kejohanan Piala Dunia 2026 melalui pengalaman yang penuh makna, katanya.

 

Perkukuh Infrastruktur Pembayaran Global

Puntambekar berkata platform pembayaran global Bank of America dibangunkan untuk menyokong skala dan kerumitan acara sedemikian, dengan operasi meliputi lebih 230 negara dan wilayah, memproses transaksi bagi lebih 140 mata wang dan mengendalikan pembayaran harian bernilai US$1.6 trilion.

“Secara operasinya, acara dunia sebesar dan berskala ini bergantung kepada daya tahan sistem pembayaran, perkhidmatan pertukaran mata wang asing, kesalinghubungan perbendaharaan dan keselamatan pengalaman pelanggan digital.

“Ini sejajar dengan penyelesaian pembayaran global Bank of America yang menawarkan platform tunggal bercirikan keselamatan dan kawalan akses, kesalinghubungan antara muka pengaturan aplikasi (API) serta keupayaan pembayaran rentas sempadan masa nyata,” katanya.

Beliau berkata secara praktikal, Bank of America membantu pelanggan dan rakan niaga memindahkan wang dengan selamat di samping mengurus risiko dan meningkatkan kebolehlihatan transaksi susulan permintaan terhadap transaksi rentas sempadan semakin berkembang.

“Malaysia boleh memanfaatkan pengalaman dan pengajaran ini untuk terus memperkukuh serta menambah baik infrastruktur digital sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567246