NILAI, 10 Jun (Bernama) -- Bagi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, di sini bukan sekadar perlumbaan.
Bekas juara dunia itu sebaliknya turut bertindak sebagai ‘pencerita’ di dalam trek apabila memakai cermin mata pintar yang dilengkapi kamera untuk merakam pengalamannya sewaktu bersaing dalam acara keirin elit lelaki hari ini.
Bukan sahaja merakam detik perlumbaan, malah Mohd Azizulhasni berkata beliau mahu menyimpan kenangan bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat menyaksikan kejohanan itu.
“Tadi saya cuba merakam detik perlumbaan, tambahan pula Sultan Pahang turut berangkat. Ini satu penghargaan untuk kami (pelumba) semua. Bukan mudah untuk melihat baginda berangkat menyaksikan perlumbaan,” katanya,
Beliau yang mewakili Team Azizul berkata demikian selepas meraih perak keirin elit lelaki dalam saingan yang diunguli pelumba Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom, manakala gangsa milik Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.
Pemenang pingat perak keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga mengakui amat terharu dengan keberangkatan baginda ke kejohanan tersebut.
"Ini satu momen yang amat manis untuk kem berbasikal, bukan saja atlet elit negara tetapi semua pelumba basikal. Mereka semua sangat teruja tadi ambil gambar dengan Tuanku Sultan Pahang.
"Baginda memang terkenal seorang yang sporting, merendah diri dan raja berjiwa rakyat," katanya.
Kejohanan selama empat hari yang bermula semalam berakhir Jumaat ini.
-- BERNAMA