JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Kedah Tahan 29 Pendatang Tanpa Izin Di Bukit Selambau

10/06/2026 02:41 PM

SUNGAI PETANI, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 29 pendatang tanpa izin dalam operasi di sebuah kilang pembuatan lantai formika di Bukit Selambau dekat sini semalam. 

JIM dalam kenyataan memaklumkan penahanan itu dibuat dalam operasi dijalankan hasil maklumat dan risikan Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah bermula kira-kira 10 pagi dan sebanyak 199 individu telah diperiksa.

Menurut JIM, jumlah itu terdiri daripada 20 warga tempatan, 127 warga Bangladesh, 25 warga Nepal, 22 warga China dan lima warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan mendapati 29 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen yang terdiri daripada 24 lelaki Bangladesh dan lima lelaki Myanmar berusia antara 27 hingga 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati 26 daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini,” menurut kenyataan itu.

JIM memberitahu, dua lagi individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan manakala seorang lagi disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam tempoh pemeriksaan, pihak jabatan turut mengeluarkan dua Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan dan kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566927