JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Geng Aktif Pecah Cermin Kereta Di Kota Bharu, Pasir Mas

09/06/2026 09:22 PM

KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan satu kumpulan jenayah dikenali sebagai "Geng Saga" yang dipercayai terbabit dalam 10 kes pecah cermin dan curi dalam kenderaan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas, membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM23,000.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejayaan itu susulan serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus, di sini, pada 2 pagi, 30 Mei lepas.

Beliau berkata serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian pecah cermin dan curi dalam kenderaan di Tunjong.

"Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 56 tahun serta merampas pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan.

"Antara barangan yang dirampas ialah dua kereta Proton Saga, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, 10 kad bank, dua pasport antarabangsa dan sekeping MyKid," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata polis turut merampas sebuah lastik getah, dua serpihan palam pencucuh dan sebatang playar yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin kenderaan.

Menurut beliau, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau serta 32 rekod kesalahan berkaitan dadah.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati semua suspek positif methamphetamine," katanya.

Beliau berkata mahkamah membenarkan perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek selama tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566716