Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
IPOH, 9 Jun (Bernama) -- Penambahbaikan mekanisme Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dilihat berkesan dalam memastikan sistem penyaluran bantuan kerajaan yang lebih bersasar dan berupaya melindungi keutuhan kedudukan fiskal negara.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Ramlee Ismail berkata penambahbaikan mekanisme SKDS itu satu tindakan strategik demi menjamin keberkesanan agihan kepada sektor ekonomi dan pengusaha mikro yang memerlukan.
“Peluasan SKDS dijangka memberi manfaat kepada lebih banyak pengusaha yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan, perkhidmatan, perbekalan dan penghantaran, khususnya bagi pengusaha mikro.
“Langkah ini mampu membantu mengurangkan kos operasi perniagaan, meningkatkan daya saing perusahaan tempatan serta memastikan kelancaran rantaian perkhidmatan dan bekalan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bagi sektor logistik termasuk makanan, pertanian, pembekalan keperluan pendidikan, peralatan sekolah, pelancongan serta pelbagai sektor strategik lain, akses kepada diesel bersubsidi akan turut memastikan perkhidmatan kepada masyarakat dapat diteruskan secara berkesan.
Pengarah Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) UPSI itu berkata peluasan SKDS bukan sekadar satu inisiatif subsidi bahan api, malah langkah penting ke arah sistem penyampaian bantuan yang lebih cekap, mampan dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran ekonomi negara.
“Dengan krisis di Asia Barat yang belum menampakkan tanda-tanda untuk berakhir, faktor harga minyak akan beralih kepada berapa banyak bekalan yang kita ada dan sampai bila stok boleh bertahan,” katanya.
“Oleh itu, penggunaan yang berhemah dan berkeperluan juga perlu diambil ambil kira oleh kerajaan,” katanya dan menambah SKDS perlu disokong oleh dasar lain seperti peluasan bekerja dari rumah (BDR) ke seluruh negara bagi sektor yang sesuai.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengurusan, Fakulti Sains, Pengurusan dan Pengkomputeran Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Madya Dr Ahmad Shahrul Nizam Isha berkata SKDS yang kini turut merangkumi kenderaan jip dan trak pikap, merupakan langkah efektif kerajaan mengurangkan bebanan kos pengusaha serta peniaga kecil.
“Kalau kita tengok di Cameron Highlands (Pahang), banyak pengusaha sayur atau ladang sayur guna trak pikap. Ada pekebun kecil dan peniaga kecil menggunakan trak pikap atau jip sebagai kenderaan komersial,” katanya.
Mengenai langkah pengurusan subsidi lebih bersasar, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan setiap syarikat menyediakan data penggunaan yang terperinci bagi mengelakkan sebarang ketirisan.
“Saya cadangkan kerajaan kena sentiasa memantau penggunaan diesel ini. Kerajaan perlukan data, setiap syarikat perlu menyediakan data yang sebenar supaya kerajaan dapat teliti secara terperinci penggunaan sebenar diesel itu,” katanya.
Ahmad Shahrul Nizam berkata mekanisme pemantauan yang terperinci terhadap pemandu komersial dan laluan perjalanan mereka amat diperlukan bagi memastikan kemudahan bahan api bersubsidi berkenaan tidak disalahgunakan untuk tujuan peribadi.
Dalam pada itu, Pengarah Akademi Sekuriti Makanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Ts Azizi Ahmad mencadangkan supaya kerajaan mengintegrasikan pangkalan data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Beliau yang juga pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat USAS berkata langkah menyelaraskan maklumat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), juga amat penting bagi memastikan pengusaha jip dan trak pikap yang memohon benar-benar menjalankan aktiviti sektor agromakanan.
“Antara penambahbaikan lain adalah dari segi penjejakan GPS (sistem kedudukan sejagat), bagi mengenal pasti dan menjejaki kenderaan logistik makanan yang menerima subsidi ini bagi mengelakkan daripada berlakunya ketirisan,” katanya.
Azizi turut menyarankan pelaksanaan kuota diesel bersasar mengikut jarak geografi luar bandar dan pedalaman, selain menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau transaksi bahan api berkenaan.
“Sistem amaran awal ini untuk mengesan corak pembelian diesel yang mencurigakan di setiap stesen minyak menerusi fleet card pengguna.
“Setiap bulan ataupun setiap minggu mereka boleh menggunakan fleet card itu banyak kali. Jadi (menerusi sistem amaran awal diintegrasi melalui AI) kerajaan boleh pantau pola penggunaan kad itu,” katanya.
-- BERNAMA