AM

Dua Gempa Sederhana Landa Filipina Dalam Tempoh Dua Jam, Tiada Risiko Tsunami Kepada Malaysia

08/06/2026 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Dua gempa bumi sederhana melanda wilayah Mindanao, Filipina dalam tempoh dua jam petang tadi, namun tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, gempa terbaharu dengan kekuatan 5.3 pada skala Richter berlaku pada 7.22 malam tadi.

Pusat gempa itu dikesan pada kedalaman 48 kilometer (km) pada jarak 112 km Tenggara dari Koronadal City, Filipina.

Terdahulu, satu gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter direkodkan berlaku pada 5.17 petang dengan kedalaman 10 km, berpusat di 171 km Barat Laut dari Pulau Talaud, Indonesia.

Setakat ini, sebanyak 15 orang dilaporkan maut dan sekurang-kurangnya 134 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.9 magnitud melanda Mindanao pada 7.37 pagi tadi.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566229