KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Penipuan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya berjaya dibongkar hasil kawalan dalaman berterusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak akhir 2024, sehingga membawa kepada siri penahanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pembongkaran itu membuktikan keberkesanan sistem pemantauan dalaman yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) pada Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO dalam mengenal pasti sebarang kepincangan atau anomali untuk penelitian lanjut.
“Setiap kepincangan akan disusuli tindakan segera oleh pasukan petugas khas yang menjalankan risikan di lapangan bagi mengesahkan sama ada tuntutan adalah berasas atau mempunyai unsur penipuan.
“Justeru, sejak akhir 2024, AFEI PERKESO berusaha mengumpulkan bukti sebelum menyerahkan semua maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan penguatkuasaan dan penahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil kawalan dalaman PERKESO dan kerjasama yang diberikan kepada SPRM, sekali gus membawa kepada pembongkaran kegiatan penipuan Daya Kerjaya 1.0 dan 2.0 sehingga kini.
Mohammed Azman berkata kerjasama utuh PERKESO-SPRM diteruskan dalam Ops Tunjang yang menyaksikan pendedahan kegiatan penipuan jenayah kolar putih termasuk melibatkan pengamal perubatan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PERKESO akan terus meningkatkan kawalan dalaman bagi membanteras sebarang kegiatan penipuan untuk menyeleweng dana keselamatan sosial yang sepatutnya disalurkan kepada insan memerlukan, khususnya pencarum dan waris keluarga.
“PERKESO tidak berkompromi dengan sebarang kes penipuan, justeru melalui teknologi yang dimiliki di bahagian AFEI, setiap kes tuntutan akan dipantau dengan teliti.
“Kami ingin menegaskan kepada semua pihak, sama ada dalaman atau luaran, PERKESO akan meneruskan kerjasama bersama pihak berkuasa dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan penipuan, penyelewengan dan manipulasi tuntutan,” katanya.
-- BERNAMA