Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Bermula dengan perbualan santai ketika bercuti, sekumpulan penulis warga emas membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk berkarya apabila berjaya menghasilkan Antologi Cerpen Jemari Emas: Jambangan Pelangi dalam tempoh kurang setahun.
Menghimpunkan 18 cerpen daripada 10 penulis berusia 60-an dan 70-an, antologi terbitan Pena Padu Press itu diusahakan secara swaterbit atau terbit sendiri dengan cetakan pertama kira-kira 1,000 naskhah dan sempat diterbitkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.
Penulis dan novelis Ruhayah Mahmod atau nama penanya Puteri Andalas berkata idea penerbitan antologi itu merupakan kesinambungan daripada naskhah buku pantun yang dihasilkan gabungan penulis berkenaan bersama Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, sebelum ini.
Beliau berkata daripada perancangan awal itu, kumpulan tersebut kemudian menarik penyertaan rakan penulis lain sehingga terbentuk gabungan 10 penulis warga emas yang dinamakan Jemari Emas.
“Secara kebetulan, 10 penulis yang menyertai projek ini semuanya dalam kalangan warga emas. Jadi kami pun menggelarkan kumpulan ini sebagai Jemari Emas kerana ia menghimpunkan penulis yang masih mahu terus berkarya walaupun usia semakin meningkat," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Fokus 30 Bernama Radio, di sini, hari ini.
pic-2
Ruhayah, 77, berkata 18 cerpen yang dihasilkan merangkumi pelbagai tajuk dan tema yang banyak bertitik tolak daripada pengalaman hidup serta pemerhatian terhadap masyarakat.
Katanya, projek itu pada mulanya hanya melibatkan lima penulis, namun jumlah berkenaan ditambah bagi memastikan antologi tersebut mempunyai kandungan yang lebih lengkap dan seimbang sebagai sebuah buku cerpen.
“Memang kami buat laju kerana mahu mengejar tarikh PBAKL. Tidak sampai setahun buku ini sudah siap, namun cabarannya ialah menyelaraskan karya daripada 10 penulis kerana pada awalnya projek ini hanya bermula dengan lima penulis.
“Selain itu, buku ini diterbitkan secara swaterbit, jadi masing-masing mengeluarkan modal sendiri mengikut jumlah naskhah yang ditempah. Alhamdulillah, akhirnya kami sempat menyiapkannya,” katanya.
Selain karya Zurinah dan Ruhayah, antologi itu turut memuatkan karya An Anzah Hassan, Azizah Md Saad, Dr Norasmah Mohd Noor, Hanom Ibrahim, Juriyati Mat Jalil, Masriyah Misni, Nabun Ahmad dan Zaitun Mohd Razeli.
pic-3
Sementara itu, Zurinah berkata kekuatan antologi berkenaan terletak pada latar belakang penulisnya yang datang daripada pelbagai bidang kehidupan, menjadikan setiap karya berupaya membawa pengalaman, pemerhatian dan teladan tersendiri.
“Ada yang telah pencen daripada tentera, kewartawanan, ada yang berniaga, pensyarah dan sebagainya, mereka mempunyai pengalaman yang kaya untuk diolah. Sebab kita sudah tua, cerita kita banyak. Cerita-cerita itu kita paparkan dan kongsi dalam buku,” katanya.
Zurinah berkata karya yang dihasilkan oleh penulis warga emas bukan sekadar bersandarkan pengalaman peribadi, sebaliknya menjadi ruang untuk berkongsi kisah, teladan dan pengajaran hidup yang boleh dijadikan iktibar oleh pembaca.
“Walaupun antologi itu dihasilkan oleh penulis warga emas, kandungannya sesuai dibaca pelbagai peringkat usia kerana banyak mengangkat kisah kehidupan masyarakat yang dekat dengan pengalaman pembaca,” katanya.
Antara tema yang diketengahkan dalam antologi itu ialah kekeluargaan, kehilangan, ketabahan menghadapi ujian, nilai moral, agama, kemasyarakatan serta pertembungan budaya Barat dan Timur.
Orang ramai yang berminat mendapatkan antologi berkenaan boleh menghubungi Ruhayah di talian 013-353 4846.
-- BERNAMA