Meredah arus deras Sungai Rajang yang cukup sinonim dengan “Sang Bedal”, atau tubuh digoncang kenderaan pacuan empat roda selama berjam-jam tatkala melalui jalan balak yang licin dan berlopak selepas hujan, adalah antara asam garam kehidupan pengamal media di Sarawak setiap kali perlu ke pedalaman bagi membuat liputan.
Pun begitu, tanpa mengeluh mereka tekal memikul tanggungjawab, memastikan setiap laporan tragedi bot karam, nahas helikopter atau kebakaran rumah panjang, tiba di telinga massa di sebalik kekangan talian komunikasi yang lazimnya wujud di kawasan berkenaan.
Kisah di sebalik tabir laporan yang mengusik jiwa masyarakat itu disimpan kemas di lipatan memori, kalaupun tidak dijadikan cerita yang dikongsikan dengan “pendatang baharu” sebagai pedoman untuk mereka dalam mengharungi kerjaya sebagai wartawan.
Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, tiga “orang lama” organisasi media di Bumi Kenyalang ini berkongsi kisah mereka.
TRAGEDI GAWAI 2013
Lebih 13 tahun berlalu, namun tragedi bot ekspres karam di Giam Bungan, Belaga semasa musim perayaan Hari Gawai masih segar di ingatan Mohd Roji Kawi Abdullah, wartawan veteran akhbar Berita Harian.
Berlaku pada 28 Mei 2013, tragedi itu mengorbankan tiga nyawa mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Gawai Dayak. Dilaporkan bot tersebut membawa lebih 200 penumpang, berbanding kapasiti hanya 64 orang.
Mohd Roji, 58, yang menyifatkan pengalaman membuat liputan tragedi itu sebagai paling mencabar buatnya sepanjang lebih tiga dekad bergelar wartawan, berkata lokasi tersebut terletak jauh di pedalaman Kapit.
“Perjalanan ke lokasi tragedi mengambil masa hampir 10 jam dari Sibu ke Kapit sebelum diteruskan ke Belaga dengan menaiki bot meredah arus Sungai Rajang yang deras dan berbahaya,” imbasnya kepada Bernama.
Beliau ketika itu satu-satunya wakil kumpulan media The New Straits Times Press di Sibu.
Bercerita lanjut, Mohd Roji berkata pada waktu itu kemudahan Internet tidak seperti sekarang yang lebih mudah diakses walaupun di kawasan pedalaman.
“Ketika itu belum ada WhatsApp atau kemudahan Internet seperti sekarang. Untuk menghantar laporan kepada petugas di pejabat kami perlu bergerak hampir sejam dari lokasi kejadian semata-mata mencari kawasan yang mempunyai talian telefon.
“Kadangkala kami terpaksa membayar hingga RM300 bagi satu perjalanan hanya untuk menghantar laporan secara langsung kepada pejabat,” katanya, menambah mereka memperjudikan keselamatan diri ketika meredah kawasan jeram dan arus deras, demi memastikan laporan tiba kepada orang ramai.
“Sudah tentu kami fikir soal keselamatan, tetapi tanggungjawab terhadap tugas membuatkan kami teruskan perjalanan yang banyak bergantung pada pengalaman pemandu bot kerana, sedikit kesilapan boleh mengundang bahaya,” katanya.
Bagi Mohd Roji, cabaran fizikal dan mental yang ditempuh sepanjang kerjaya tidak sesekali melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai wartawan walaupun pernah mengalami patah tangan beberapa tahun lalu selain diserang angin ahmar baru-baru ini.
“Saya kena strok, tetapi tangan masih boleh bergerak dan saya masih boleh menulis. Selagi mampu, saya akan terus menjalankan tugas mendapatkan dan memproses berita daripada bomba, polis dan agensi berkaitan,” katanya yang turut menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.
KOS TINGGI
Bagi wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Frank Julian Martin, 52, liputan di pedalaman Sarawak bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal dan mental, malah memerlukan kos operasi yang tinggi.
Beliau berkata tugasan di kawasan seperti Kapit, Belaga, Baram dan Hulu Rajang lazimnya melibatkan penggunaan bot panjang, kenderaan pacuan empat roda serta perbelanjaan bahan api yang besar.
“Kos bahan api sahaja boleh mencecah RM800 untuk satu perjalanan, manakala sewaan bot pula boleh mencapai RM3,000 termasuk upah jurumudi dan pembantu.
“Oleh sebab itu kebanyakan liputan pedalaman biasanya dibuat hanya ketika ada program rasmi kerajaan atau wakil rakyat yang menyediakan kemudahan logistik untuk media,” katanya.
Menurut Frank yang telah 24 tahun bertugas sebagai wartawan, selain faktor kos, mereka juga berdepan pelbagai risiko lain termasuk cuaca ekstrem, tanah runtuh dan ancaman haiwan liar seperti buaya.
Malah, katanya, ada ketikanya wartawan terkandas di lokasi disebabkan oleh cuaca buruk menyaksikan kedua-dua laluan sungai dan balak tidak selamat dilalui.
Mengimbau pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Frank berkata beliau pernah terlibat dalam insiden bot karam ketika membuat liputan program bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Machan Datuk Seri Gramong Juna, di Ulu Machan, Kanowit pada awal 2000-an.
“Bot kecil yang kami naiki karam ketika dalam perjalanan pulang ke pekan Machan. Nasib baik paras air hanya setinggi pinggang orang dewasa dan semua penumpang selamat.
“Walaupun basah kuyup, kami bersyukur kerana dapat menyelamatkan kamera dan peralatan kerja,” katanya, tersenyum mengingatkan detik mencemaskan itu.
Beliau turut berkongsi pengalaman meredah sungai cetek dan berbatu di Ensiring, Julau yang memerlukan mereka menaiki bot dalam keadaan panas terik dan meletihkan selama berjam-jam.
Namun bagi Frank, segala kesukaran itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab wartawan untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada liputan media arus perdana.
“Kami mahu suara dan pembangunan di pedalaman turut diketahui masyarakat luar. Jadi, sesukar manapun perjalanan, wartawan tetap akan pergi,” ujarnya.
KEBAJIKAN WARTAWAN DI LAPANGAN PERLU DIBERI PERHATIAN
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo Teck Wei berkata kebajikan wartawan ketika membuat liputan di pedalaman Sarawak perlu diberi perhatian lebih serius memandangkan risiko tinggi yang mereka hadapi ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata keluasan negeri dan bentuk muka bumi yang mencabar menyebabkan wartawan sering terdedah kepada pelbagai bahaya ketika membuat liputan berkaitan tragedi ataupun jenayah rentas sempadan di kawasan terpencil.
“Wartawan kadangkala perlu meredah laluan balak aktif, menaiki bot ekspres dalam keadaan cuaca tidak menentu dan bergerak jauh ke kawasan pedalaman tanpa liputan telekomunikasi.
“Jika berlaku kecemasan atau kerosakan kenderaan, mereka mungkin sukar mendapatkan bantuan dengan segera,” katanya.
Menurut beliau, tugasan di pedalaman juga lazimnya mengambil masa beberapa hari yang memerlukan wartawan bermalam di lokasi dengan kemudahan serba terhad termasuk kekurangan bekalan air bersih, makanan dan tempat penginapan yang selesa.
Dalam dunia kewartawanan yang kini bergerak pantas menerusi kemudahan teknologi digital dan media sosial, cabaran pengamal media di pedalaman Sarawak mungkin jarang diketahui masyarakat.
Di sebalik setiap gambar tragedi, rakaman video dan laporan berita yang disiarkan, mereka memperjudikan keselamatan diri demi memastikan masyarakat di seluruh negara menerima maklumat yang benar dan tepat, kerana bagi mereka, kewartawanan bukan sekadar kerjaya tetapi amanah untuk membawa suara pedalaman ke pengetahuan dunia.