Daripada Siti Noor Afera Abu
TAIPEI, 3 Jun (Bernama) -- Synology Inc hari ini melancarkan ActiveProtect Manager 2.0 dan mengumumkan pelan tindakan bagi DiskStation Manager (DSM) generasi seterusnya.
Penyedia teknologi pengurusan data yang berpangkalan di Taiwan itu berkata ActiveProtect Manager 2.0 yang dikemas kini itu meluaskan keupayaan sokongan dan pemulihan merentasi platform infrastruktur-sebagai-perkhidmatan (IaaS) utama dan persekitaran virtualisasi, serta memperkenalkan pengesanan ancaman yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bagi daya tahan siber proaktif.
Menurut syarikat itu, ActiveProtect Manager 2.0 meningkatkan perlindungan data syarikat daripada daya tahan pasif kepada pengesanan ancaman proaktif yang dipacu AI.
Enjin pengesanan anomali menggunakan pembelajaran mesin untuk menandakan corak yang tidak sekata, termasuk kadar perubahan yang luar biasa, penghapusan besar-besaran dan lonjakan entropi, sebaik sahaja ia timbul.
"Fail yang terjejas dikuarantin secara automatik, menghalang data yang terjejas daripada dipulihkan secara tidak sengaja.
"Ia juga berintegrasi dengan alat antivirus pihak ketiga untuk mengimbas data sandaran bagi mengesan perisian hasad, jadi hanya versi yang bersih dan disahkan sahaja yang boleh dipulihkan," maklum syarikat itu dalam satu kenyataan.
Naib presiden eksekutif Synology Data Protection Group, Jia-Yu Liu berkata ActiveProtect Manager 2.0 meluaskan liputan perlindungan kepada platform awan, hipervisor dan perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) utama, sambil memperkenalkan pengesanan ancaman dipacu AI yang mengalihkan perlindungan data daripada pemulihan reaktif kepada pertahanan proaktif.
Sementara itu, syarikat tersebut memaklumkan pelan tindakan DSM akan mengembangkan teknologi daripada sistem pengendalian storan kepada platform data pintar bagi aliran kerja AI di premis yang dikawal.
DSM generasi akan datang itu akan mengubah metrik data dan sistem kepada dapatan analisis data tanpa risiko privasi atau kos yang berkaitan dengan penyedia awan.
Selain itu ia juga mengubah data perniagaan, log sistem dan metrik sedia ada menjadi pangkalan pengetahuan peribadi yang boleh diambil tindakan oleh ejen AI.
Pembantu AI Synology Office Suite menyediakan cara yang boleh digunakan serta-merta untuk meningkatkan produktiviti, manakala pelayan rak unit pemprosesan grafik (GPU) Synology dan peralatan AI khusus mengendalikan inferens setempat tanpa memindahkan data ke luar tapak.
"Ejen DSM mengukuhkan automasi dengan menyediakan pengalaman untuk tugas pentadbiran seluruh sistem dan mengatur alatan serta kemahiran ke dalam aliran kerja," menurut syarikat itu.
Naib presiden eksekutif Synology NAS Group, Bie-i Chu berkata sistem yang dikemas kini itu bertujuan untuk memenuhi tuntutan AI dan perusahaan bagi membolehkan aliran kerja AI persendirian yang dikawal sepenuhnya, pengurusan dengan tadbir urus penuh, pengoptimuman aset dan kawalan keselamatan pasukan teknologi maklumat (IT) untuk memenuhi keperluan kawal selia dan pematuhan.
-- BERNAMA