SUKAN

JMR Sahkan Sertai 24 Jam Le Mans, Kembali Ke 24 Jam Crowdstrike-Spa Dan Suzuka 1000

02/06/2026 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Selepas berjaya menaiki podium pada perlumbaan tahan lasak Bathurst 12 Jam pada Februari lepas, Johor Motorsports Racing (JMR) kini bersiap sedia menghadapi “musim yang ikonik” dengan mengesahkan penyertaan pada perlumbaan 24 Jam Le Mans, 24 Jam CrowdStrike-Spa dan Suzuka 1000 kilometer (km).

JMR dalam kenyataan memaklumkan perlumbaan legenda Le Mans yang akan berlangsung minggu depan, diiktiraf sebagai perlumbaan tahan lasak terbesar dan paling berprestij di dunia, sekali gus menjadi tumpuan utama apabila pasukan itu bekerjasama dengan TF Sport untuk beraksi menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.

Pemilik dan pelumba JMR Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim akan membuat penampilan sulung pada Le Mans bersama pemandu profesional tetap JMR dan seorang lagi pendatang baharu Le Mans Ben Green manakala pelumba berbakat dari England berusia 23 tahun Lorcan Hanafin akan melengkapkan pasukan tiga pelumba itu bagi penampilan keduanya pada Le Mans.

“Tahap perlumbaan yang kami sertai ketika ini adalah sesuatu yang saya bayangkan sejak memulakan kerjaya pada 2019. Justeru amat memuaskan apabila dapat mencapai sasaran dan matlamat yang telah ditetapkan. Selepas memperoleh pengalaman dan mencatat pelbagai kejayaan bersama Corvette tahun lepas, kami kini bersedia untuk bersaing dalam perlumbaan tahan lasak ikonik bertaraf utama.

“Saya memasang impian untuk beraksi pada Le Mans sejak mula berlumba tujuh tahun lepas dan saya tidak sabar untuk merasai pengalaman berlumba di litar yang begitu ikonik serta mencabar ini,” kata Tunku Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan perlumbaan legenda berkenaan bukan sahaja memukau, tetapi amat mencabar dari segi ketahanan, menampilkan 62 kereta daripada tiga kategori akan berlumba tanpa henti di litar sepanjang 13.6km yang merangkumi jalan raya awam dan trek perlumbaan khas pada kelajuan mencecah hampir 320 kilometer sejam.

Dua minggu kemudian, JMR akan kembali ke litar ikonik Spa-Francorchamps di Belgium untuk menyertai 24 Jam CrowdStrike-Spa selepas pasukan itu berjaya menamatkan perlumbaan yang terkenal dengan cabaran ekstrem itu pada 2025 dan kini menyasarkan kedudukan podium dalam kelas GT3.

“Empat pemandu JMR yang disahkan untuk Spa semuanya mempunyai pengalaman berlumba di litar sepanjang tujuh kilometer itu pada waktu malam. Bersama-sama Tunku Abdul Rahman dan Ben Green dalam Corvette Z06 GT3.R ialah Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta pemandu tetap JMR dari Australia Jordan Love,” menurut kenyataan itu.

Kemuncak musim ikonik JMR adalah dengan kembalinya pasukan itu ke Suzuka 1000km pada 11 hingga 13 Sept selepas meraih dua keputusan podium cemerlang pada 2025, apabila kedua-dua pasukan Pro dan Pro-Am berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik, sekali gus menyemarakkan lagi keazaman pasukan yang berpangkalan di Malaysia itu untuk mencatat satu lagi keputusan memberangsangkan.

“Naib juara Cabaran Dunia GT Asia 2025 Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Abu Bakar dan Ben Green akan mengetuai pasukan Pro-Am tahun ini, dengan beberapa lagi perkembangan menarik mengenai pasukan akan diumumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2563821