Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menempatkan pegawai khas "Pendaftar Hedjaz" di Tanah Suci bagi memastikan dokumentasi rasmi jemaah haji Malaysia, terutama urusan pendaftaran kematian dapat diselesaikan dengan cepat dan teratur.
Menerusi penempatan Pendaftar Hedjaz di Makkah dan Madinah, JPN berperanan sebagai penghubung antara Arab Saudi dan Malaysia dalam menyelaras dokumentasi rasmi sekiranya berlaku kematian dalam kalangan jemaah haji.
Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz) JPN Salasiah Masron berkata bagi musim haji 1447H/2026M dua pegawai ditempatkan di Arab Saudi untuk menguruskan setiap kes melalui Sistem Kematian Hedjaz yang diintegrasikan dengan pangkalan data Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan maklumat kematian disalurkan terus ke JPN di Malaysia bagi mempercepatkan pengeluaran sijil kematian yang diperlukan waris untuk urusan faraid, tuntutan insurans dan pengurusan harta pusaka.
"Kehadiran kami di sini adalah untuk memastikan urusan dokumentasi jemaah dapat diselesaikan dengan cepat dan teratur serta memudahkan waris di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Salasiah berkata kerjasama erat dengan TH, pihak hospital dan pengurusan maktab membolehkan semua dokumen sokongan diperoleh dengan lengkap sebelum maklumat disahkan untuk tindakan lanjut di Malaysia.
Sebagai langkah proaktif, JPN turut menghubungi waris yang didaftarkan dalam sistem TH bagi menyelaras penyerahan sijil kematian di pejabat JPN yang paling hampir dengan tempat tinggal mereka..
Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan beban waris yang berdepan kehilangan ahli keluarga di Tanah Suci selain memastikan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan dokumen penting berkenaan.
“Penggunaan teknologi digital telah mengubah landskap pengurusan kematian jemaah apabila proses yang dahulunya dilakukan secara manual, termasuk penghantaran dokumen melalui e-mel, kini dilaksanakan secara automatik menerusi integrasi sistem JPN-TH.
“Maklumat dapat disalurkan terus ke sistem JPN dan proses pengeluaran sijil kematian menjadi lebih cepat serta efisien," katanya.
Setakat ini, 10 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci.
-- BERNAMA