SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Red Giants FC Sdn Bhd dengan WTM Media Sdn Bhd yang dimeterai hari ini bakal menyaksikan skuad e-sukan Selangor Red Giants (SRG) mengembangkan lagi jangkauan jenama mereka ke peringkat serantau yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata langkah proaktif melalui jalinan kerjasama itu bertujuan mendedahkan SRG kepada demografi penonton melangkaui golongan belia serta membuka peluang interaksi dengan komuniti baharu yang belum pernah diterokai sebelum ini.
"Kerjasama ini ialah kolaborasi yang sangat bermakna kerana membolehkan kami mendekati penonton dan kumpulan baharu yang mungkin sebelum ini kita tidak dapat jejaki pasaran mereka.
"SRG ialah jenama yang kuat dan dikenali di Malaysia, tetapi tentu saja kami mencari ruang untuk kita tambah baik seperti kolaborasi bersama WTM Media yang sudah mempunyai perancangan ke peringkat Asia. Jadi, saya jangka kita akan kembangkan pengaruh ke rantau itu," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Red Giants FC Sdn Bhd dengan WTM Media Sdn Bhd di sini, hari ini.
Johan berkata hubungan dua hala yang bersifat dinamik itu tidak melibatkan sebarang bentuk penajaan kewangan secara langsung, sebaliknya lebih menekankan kepada aspek perkongsian kepakaran dan kekuatan impak komersial kedua-dua belah pihak.
"Buat masa ini, statusnya terbuka kerana ia kerjasama strategik, bukan penajaan berbentuk wang tunai serta tidak membabitkan tempoh tertentu. Kolaborasi ini lebih kepada memanfaatkan kepakaran pihak media dalam bidang mereka dan dalam masa yang sama mereka juga dapat memanfaatkan pengaruh meluas SRG dalam arena e-sukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Berhad Nicholas Lim Pinn Yang berkata pihaknya selaku pemegang saham majoriti dalam WTM Media menyasarkan jalinan kerjasama strategik itu mampu menjana hasil komersial mencecah RM500,000 dalam tempoh setahun.
Beliau berkata unjuran kewangan yang optimis itu bakal dipacu melalui pembukaan ruang penstriman langsung baharu serta integrasi kandungan komersial yang lebih agresif bagi menarik penajaan daripada syarikat korporat ke dalam vertikal (pasaran khusus) permainan digital tersebut.
"Fokus utama kami adalah untuk menjaga kestabilan syarikat dan mencari lebih ramai pelanggan. Jadi, saya rasa sasaran meraih hasil setengah juta ringgit dalam setahun tidak akan menjadi masalah melalui kemasukan penaja baharu.
"Penjanaan pendapatan tersebut akan disokong penuh menerusi pelan pengkomersialan menyeluruh yang menghubungkan aktiviti penstriman langsung dan penjualan digital bagi meningkatkan nilai penukaran jualan yang tinggi daripada jenama perusahaan," katanya.
Mengulas lanjut, Lim berkata langkah menetapkan sasaran kewangan kompetitif itu membuktikan komitmen pihaknya dalam mematangkan aspek penjanaan hasil media e-sukan tempatan demi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang kedua-dua pihak.
Terdahulu, upacara penandatanganan MoU antara kedua-dua pihak disempurnakan oleh Johan dan Ketua SRG E-Sports Saufi Badry mewakili Red Giant FC Sdn Bhd, manakala Lim dan Pengarah WTM Media Mariah Ahmad mewakili Foodie Media Berhad.
SRG merupakan juara bertahan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia selepas mereka mendominasi musim domestik berturut-turut dengan rekod panjang tanpa kalah termasuk juara Mid Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MSC MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan kira-kira RM4.67 juta.
-- BERNAMA