KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee terpaksa berpuas hati menamatkan saingan akhir acara 100 meter (m) di kedudukan ketujuh pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Hong Kong hari ini.
Pada kejohanan itu, atlet berusia 19 tahun berkenaan mencatat masa 10.43 saat (s) pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Kai Tak Youth Sports Ground.
Pingat emas menjadi milik pelari China Dai Hongyu yang merekodkan masa 10.28s manakala wakil tuan rumah Kwok Chung Ting menyambar pingat perak dengan catatan 10.35s.
Gangsa pula menjadi milik pelari Jepun, Yasukawa Tsubasa yang turut mencatat masa 10.35s.
Terdahulu, Danish Iftikhar layak ke final selepas menamatkan saingan separuh akhir di kedudukan keenam keseluruhan dengan catatan masa 10.38s.
-- BERNAMA