EKONOMI

QL Resources Raih Untung Bersih Lebih Rendah Pada RM450.35 Juta

28/05/2026 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- QL Resources Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM450.35 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2026 (TK2026) berbanding RM455.08 juta bagi tempoh sama 2025.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perniagaan bersepadu berasaskan agro itu memaklumkan perolehan hasil bagaimanapun hampir tidak berubah pada RM7.047 bilion.

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim akhir satu peringkat 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan di bawah kajian berkenaan.

Bagi suku keempat berakhir pada 31 Mac, 2026, QL Resources meraih keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM113.34 juta berbanding RM93.40 juta pada suku sama tahun lepas.

Hasil bagi suku itu naik kepada RM1.81 bilion daripada RM1.74 bilion sebelum ini, disumbangkan terutamanya oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen pembuatan produk marin (MPM) dan penternakan bersepadu (ILF).

“Bagi suku semasa, hasil segmen MPM menokok 10 peratus berbanding suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan prestasi dalam aktiviti perikanan dan akuakultur selain sumbangan stabil daripada produk berasaskan surimi (produk berasaskan isi ikan).

“Ini sebahagiannya telah diimbangi oleh jumlah jualan lebih rendah bagi tepung ikan dan surimi meskipun harga purata jualan meningkat,” menurutnya.

Menurut QL Resources, di sebalik prestasi tepung ikan dan surimi yang suram, keuntungan sebelum cukai (PBT) terkumpul hanya turun sedikit, sebahagiannya diimbangi oleh pemulihan dalam aktiviti perikanan dan akuakultur serta peningkatan jumlah jualan dan margin bagi produk berasaskan surimi.

Bagi segmen ILF, hasil suku semasa naik tiga peratus berbanding suku sebelumnya, didorong khususnya oleh jumlah dagangan bahan mentah makanan ternakan lebih tinggi walaupun harga unit yang lebih rendah.

“Namun, PBT susut sebanyak 31 peratus disebabkan terutamanya prestasi operasi penternakan ayam penelur yang suram di Semenanjung Malaysia berikutan harga telur lebih rendah serta pemansuhan subsidi telur yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2025.

“Keadaan ini bagaimanapun diimbangi oleh pemulihan dalam operasi penternakan Indonesia dan sumbangan perdagangan bahan mentah makanan ternakan yang lebih kukuh,” menurutnya.

Merujuk prospek, QL Resources memaklumkan bahawa prospek ekonomi global bagi 2026 kekal tidak menentu susulan pemecahan perdagangan berterusan, dasar tarif Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik, khususnya di Asia Barat.

“Faktor-faktor ini dijangka berterusan dalam gangguan rantaian bekalan global, menjadikan aliran pelaburan menyederhana dan menyumbang kepada pertukaran asing dan harga tenaga yang tidak menentu,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2562477