AM

SWM Environment Perkenal Motosikal Kabin Sisi EV Bagi Operasi Pembersihan Di Bandar Hilir

28/05/2026 07:02 PM

MELAKA, 28 Mei (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memperkenal penggunaan motosikal kabin sisi berkuasa elektrik (EV) bagi operasi pembersihan awam di lokasi tumpuan pelancong sekitar Bandar Hilir dalam usaha menyokong Agenda Bandar Rendah Karbon Melaka.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata inisiatif berteraskan teknologi hijau itu ialah sebahagian daripada komitmen syarikat dalam membantu merealisasikan aspirasi Melaka untuk muncul sebagai Negeri Hijau menjelang 2035.

“Sebanyak lima unit motosikal kabin sisi EV mula digunakan sejak April lepas bagi melaksanakan operasi kutipan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam khususnya di kawasan laluan sempit serta lokasi berintensiti tinggi yang memerlukan sistem operasi lebih cekap dan mesra alam.

“Penggunaan motosikal kabin sisi EV ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan operasi pembersihan malah turut mengurangkan pencemaran bunyi serta pelepasan karbon hasil pembakaran bahan api khususnya di kawasan pelancongan dan warisan yang sensitif terhadap pencemaran persekitaran,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah itu turut mencerminkan komitmen berterusan SWM Environment dalam memperkasa agenda teknologi hijau dan menyokong pembangunan bandar yang lebih bersih, hijau, moden dan mampan.

Mohd Norlisam berkata pelaksanaan jentera EV itu juga sebahagian daripada usaha penambahbaikan operasi syarikat ke arah sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih pintar, inovatif dan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan komuniti urban ketika ini.

“Kami percaya pendekatan teknologi hijau ini mampu memberi impak positif kepada alam sekitar selain mewujudkan suasana yang lebih bersih, kondusif dan selesa kepada pelancong serta masyarakat setempat,” katanya.

Operasi motosikal kabin sisi EV itu dilaksanakan dari Isnin hingga Khamis bermula 7.30 pagi hingga 6 petang manakala pada Jumaat hingga Ahad, ia dijalankan di kawasan zon bebas kereta dari 6.30 petang hingga 10.30 malam bagi memastikan tahap kebersihan kawasan pelancongan terus berada pada tahap optimum.

Beliau berkata pihaknya akan terus menilai keberkesanan penggunaan jentera berkenaan sebelum memperluas pelaksanaannya ke lokasi strategik lain di bawah kawasan operasi.

Pada masa sama, Mohd Norlisam menyeru orang ramai supaya memainkan peranan dalam memelihara kebersihan kawasan awam dan pelancongan demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2562451