AM

Matrix Concepts Sokong Pembangunan Baharu SJKT Ladang Labu Bahagian 4

26/05/2026 02:11 PM

SEREMBAN, 26 Mei (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd menyumbang 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek bagi fasa pertama pemindahan dan pembangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Labu Bahagian 4, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersamanya Tan Sze Chee berkata pembinaan fasa pertama itu disasarkan siap menjelang Oktober 2027 dengan anggaran kos pembangunan kira-kira RM8.9 juta.

Beliau berkata menerusi cadangan kerjasama itu, pembangunan berkenaan dijangka merangkumi sebuah blok akademik empat tingkat yang menempatkan 12 bilik darjah selain bilik sains dan komputer, perpustakaan, kemudahan prasekolah, pejabat pentadbiran, dewan serba guna, kantin, padang sekolah, pondok pengawal serta kemudahan sokongan pendidikan lain.

“Kami amat berbesar hati dapat menyokong pemindahan sekolah ini daripada permulaannya dalam komuniti estet kecil ke persekitaran yang lebih luas dan kondusif, yang kami harap akan terus berkembang maju pada masa depan.

“Kami percaya pembangunan bandar yang bermakna bukan sekadar tertumpu kepada infrastruktur, tetapi juga melibatkan kekuatan komuniti dan institusi yang berkembang di dalamnya, dengan pendidikan kekal sebagai tonggak penting dalam membentuk generasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Matrix Concepts dan Lembaga Pengelola SJKT Ladang Labu Bahagian 4, Labu yang berlangsung hari ini disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar serta pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Datuk Seri Lee Tian Hock.

Tan berkata kerjasama itu menzahirkan komitmen untuk menyokong cadangan pemindahan dan pembangunan sekolah berkenaan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta memenuhi keperluan masa depan pelajar.

Beliau berkata selepas siap dibina kelak sekolah itu dijangka dapat menampung lebih ramai pelajar disokong oleh komuniti sedia ada di kawasan sekitar serta pertumbuhan dan pertambahan penduduk susulan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) City dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Dengan pemindahan dan pembangunan di lokasi yang lebih sesuai, kapasiti sekolah dapat diperluas bagi menampung lebih ramai pelajar pada masa depan, di samping mewujudkan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak di kawasan sekitar untuk mendapat akses pendidikan dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561659