MINA, 25 Mei (Bernama-SPA) -- Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi meningkatkan tahap kesiapsiagaan Masjid Namira menjelang Hari Arafah bagi musim haji 1447 Hijrah, sebahagian daripada perkhidmatan operasi, teknikal dan kesedaran bersepadu demi memastikan keselesaan jemaah.
Masjid berkenaan dilengkapi dengan 125,000 meter persegi permaidani berkualiti tinggi selain menerima naik taraf besar-besaran pada infrastruktur, sistem penyaman udara, pengudaraan, sistem siar raya serta perkhidmatan air, sekali gus meningkatkan kapasitinya dengan ketara untuk menampung kehadiran jemaah yang ramai, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi dan kamera pengawasan yang canggih, manakala 72 laluan masuk telah disusun bagi memastikan kelancaran pergerakan, dibantu oleh penyeliaan secara berterusan. Di samping itu, sebanyak 150 skrin digital dan 10 platform multibahasa disediakan bagi memberikan panduan serta jawapan berkaitan kemusykilan agama.
Usaha itu mencerminkan komitmen kementerian dalam meningkatkan kesiapsiagaan di seluruh tapak suci sekali gus membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah mereka dengan mudah dan selesa.
-- BERNAMA-SPA