KUANTAN, 25 Mei (Bernama) -- Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), AFA Prime Bhd (AFA Prime) menganggarkan jumlah trafik mencecah lebih 3 juta bermula 22 Mei lepas hingga 2 Jun di lebuh raya berkenaan berikutan sambutan Aidiladha dan cuti umum.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim berkata jumlah kenderaan di Lebuhraya KLK dijangka mencecah 2.18 juta, manakala LPT1 pula dianggarkan menerima 843,000 kenderaan dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus di Lebuhraya KLK dan 71 peratus di LPT1 berbanding hari biasa.
“Peningkatan ketara aliran trafik ini juga menuntut seluruh pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin, sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas demi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar sepanjang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidiladha 2026 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini hari ini.
Razali berkata kerajaan negeri juga menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh pihak AFA Prime bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 bermula 24 hingga 31 Mei 2026 melibatkan 287 anggota penguat kuasa yang berada pada tahap kesiapsiagaan penuh.
-- BERNAMA