JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Jalankan Siasatan Terperinci Punca Kemalangan Di FSO Sepat

25/05/2026 01:47 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kes kemalangan yang menyebabkan tiga pekerja maut di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat yang terletak kira-kira 150 meter dari perairan Kuala Terengganu, tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata sepasukan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah telah dihantar ke lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian khususnya di media sosial.

"Setakat ini kes disiasat di bawah laporan mati mengejut. Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah, kes akan diklasifikasikan semula dan diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.

Semalam, tiga pekerja di pelantar minyak dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561239