Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Ketua sebuah firma perunding pengurusan sisa memberi amaran bahawa Malaysia haus menguatkuasakan sistem pengurusan sisa maritim yang lebih ketat bagi melindungi Selat Melaka daripada pencemaran alam sekitar, memandangkan trafik perkapalan dijangka meningkat dengan ketara melintasi laluan tersebut.
Ini memandangkan kejadian tumpahan minyak boleh meningkat apabila lebih banyak kapal berlayar antara Eropah dan Asia dan dialihkan melalui selat berkenaan sebagai laluan alternatif untuk mengelakkan laluan Selat Hormuz yang dilanda konflik, kata Dr Nur Zulaikha Yusof, Ketua Kelestarian dan Perancangan Strategik di Hexagon Synergy Group.
Beliau juga berkata perlu ada penyelarasan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia yang berkongsi Selat Melaka untuk memastikan penguatkuasaan berkesan.
“Jumlah kapal diunjurkan meningkat antara 10 dan 20 peratus apabila lebih ramai syarikat penghantaran mencari laluan alternatif antara Eropah dan Asia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Akibatnya, terdapat kemungkinan peningkatan tumpahan minyak serta insiden-insiden lain.
Ini boleh mendedahkan selat tersebut kepada bahaya alam sekitar lebih besar yang boleh menjejaskan ekosistem marin dan punca pendapatan nelayan.
Nur Zulaikha mendedahkan bagaimana dalam masa lapan tahun antara 2014 dan 2022, terdapat 130 tumpahan minyak yang teruk di sepanjang Selat Melaka.
“Menampung lebih banyak kapal yang dialihkan ke sini menjadikan Selat Melaka terdedah,” katanya.
Beliau berkata kecekapan selat tersebut termasuk Selat Melaka, berpunca daripada peranannya dalam menghubungkan bekalan Timur Tengah dengan permintaan Asia Timur, namun kelebihan itu datang dengan kos, antaranya koridor itu sempit, sesak, dan rapuh dari segi alam sekitar.
Walaupun situasi penyelarasan semula ini membolehkan Selat Melaka menyerap limpahan trafik, ia juga mewujudkan paradoks yang biasa bagi Malaysia iaitu kepentingan strategik yang lebih besar disertai dengan risiko alam sekitar yang lebih tinggi.
Trafik Perkapalan Meningkat, Risiko Alam Sekitar
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) baru-baru ini mengenal pasti 39 kes pelepasan lambung haram dan pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran antara 2021 dan April 2026 yang sering melibatkan kapal berbendera asing.
Kapal berbendera asing bermaksud kapal didaftarkan di luar negara dan mengibarkan bendera negara tersebut, walaupun ia sedang berlayar di perairan Malaysia.
Insiden ini menggariskan mengapa Selat Melaka bukan sahaja banyak digunakan, tetapi juga semakin terdedah, katanya.
Geografinya meningkatkan risiko apabila trafik yang padat melalui laluan sempit, selalunya berdekatan dengan persisir pantai dan kawasan perikanan.
Justeru, risiko alam sekitar adalah tinggi dan semakin meningkat dan akan mengganggu perikanan dan mata pencarian nelayan yang bergantung pada ekosistem marin bersih dan stabil.
Bentuk pencemaran baharu juga mula diambil kira, kata beliau, sambil menambah bahawa kajian pada tahun 2021 oleh International Council on Clean Transportation mengenal pasti Selat Melaka sebagai salah satu kawasan tumpuan scrubber washwater terbesar di dunia, bersama dengan wilayah di Eropah dan Caribbean, dengan lebih 180 juta tan dilepaskan setiap tahun.
Scrubber washwater adalah hasil sampingan air tercemar yang dihasilkan oleh sistem pembersihan gas ekzos marin (scrubber) yang digunakan untuk membuang sulfur dan bahan pencemar lain daripada ekzos enjin kapal.
“Walaupun Malaysia telah mengharamkan pelepasan scrubber open-loop di dalam had pelabuhan, penguatkuasaan di luar sempadan tersebut kekal sukar, sekali gus membiarkan bahan pencemar terkumpul di laluan laut yang bersebelahan, katanya.
Nur Zulaikha juga berkata bahawa sebarang gangguan berterusan di Teluk, sama ada di Selat Hormuz atau Laut Merah akan mendorong lebih banyak trafik melalui Asia Tenggara, penilaian senario menunjukkan jumlah kapal boleh meningkat sebanyak antara 10 hingga 20 peratus.
“Itu mungkin kedengaran boleh diurus di atas kertas tetapi pada hakikatnya, ia menambah tekanan ke atas sistem yang sedia ada terbeban seperti pelabuhan, tempat berlabuh dan infrastruktur pengurusan sisa yang kritikal,” katanya.
Nur Zulaikha menekankan bahawa cabaran masih wujud dalam struktur operasi sistem pengurusan sisa yang dihasilkan oleh kapal Malaysia.
"Malaysia sangat bergantung kepada kontraktor yang berlesen oleh Jabatan Alam Sekitar untuk mengendalikan sisa yang dihasilkan oleh kapal.
“Walaupun bilangan kontraktor tidak sedikit, skop operasi mereka adalah terhad. Mereka tidak selalunya dapat menampung keseluruhan aliran sisa Lampiran Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL) dan mereka beroperasi dalam kekangan ke atas jumlah dan jenis sisa yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata hasilnya boleh diramal -- kelewatan, kesesakan dan sistem yang tidak memenuhi definisi "memadai" Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sendiri.
Gesaan untuk Tadbir Urus dan Penyelarasan Serantau yang Lebih Kukuh
Beliau berkata penguatkuasaan mesti beralih daripada reaktif kepada pencegahan, disokong oleh pengawasan yang lebih baik dan pendakwaan yang konsisten.
Kemudahan penerimaan pelabuhan perlu dianggap sebagai infrastruktur teras, bukan perkhidmatan sampingan, dan harus diperluas, diseragamkan dan ditetapkan harga dengan cara yang menggalakkan penggunaan dan bukannya mengelakkan.
Selain itu, peraturan juga mesti seiring dengan bahan pencemar baharu seperti pelepasan scrubber, sebaik-baiknya selaras dengan rakan kongsi serantau kerana ini bukan masalah yang boleh diselesaikan oleh Malaysia secara sendirian, katanya.
"Selat Melaka dikongsi bersama Indonesia dan Singapura dan pencemaran tidak mengenal sempadan maritim. Koordinasi dalam pemantauan, penguatkuasaan, dan piawaian adalah sangat penting,” katanya.
Malaysia sedang menghampiri titik peralihan strategik, peningkatan trafik melalui selat tersebut boleh memperkukuh kedudukannya sebagai hab maritim.
“Bagaimanapun, tanpa perlindungan yang betul, ia boleh dengan mudah menghakis integriti alam sekitar dan kredibiliti kawal selia," katanya.
-- BERNAMA