KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat sahih kepada rakyat, khususnya dalam era lambakan maklumat tanpa sempadan ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata dalam dunia yang bergerak pantas, kewujudan institusi media berwibawa amat penting bagi memastikan masyarakat menerima maklumat sahih, tepat dan berfakta.
“Selama 59 tahun, Bernama telah memegang amanah besar ini sebagai agensi berita nasional yang menjadi rujukan utama negara.
“Daripada laporan semasa, dasar kerajaan, ekonomi, sukan hinggalah isu antarabangsa, Bernama terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-59 agensi berita itu hari ini.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Bernama atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memastikan dunia kewartawanan negara terus teguh sebagai jambatan maklumat kepada rakyat dan negara.
Beliau turut mendoakan agar Bernama terus maju dan kekal menjadi institusi media yang diyakini rakyat serta disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA