Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Di sebalik setiap rumah yang musnah di Gaza hari ini, terdapat kanak-kanak yang sedang belajar hidup dengan kesedihan yang terlalu berat untuk ditanggung pada usia muda mereka.
Ketika pengeboman terus meninggalkan kesan kemusnahan di enklaf Palestin itu, satu usaha senyap namun penuh tekad sedang dijalankan bagi memelihara bukan sahaja nyawa, malah memori, maruah dan harapan buat generasi akan datang.
Dalam lawatan sulung yang penuh emosi ke Malaysia, pertubuhan Palestin Taawon berkongsi mengenai dua misi mendesak -- menjaga ribuan kanak-kanak yatim piatu serta membawa kisah Palestin lebih dekat kepada rakyat Malaysia menerusi inisiatif Muzium Palestin maya di Kuala Lumpur.
Pengerusi Taawon Dr Nabil Qaddumi berkata organisasi itu berharap dapat menjalin kerjasama strategik dengan institusi dan organisasi di Malaysia, sambil menyifatkan rakyat Malaysia sebagai penyokong teguh perjuangan Palestin.
“Rakyat Malaysia sangat menyokong perjuangan Palestin dan Taawon mahu memanfaatkan sokongan itu dengan bekerjasama bersama kumpulan yang mempunyai aspirasi sama. Antara platform yang dibincangkan ialah persidangan, forum dan pameran,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Seri Negara di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, jumlah kanak-kanak yatim di Gaza yang begitu tinggi membayangi keseluruhan perbincangan itu.
Ketua Pengarah Taawon Tareq Emtairah berkata serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 telah menyebabkan 64,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu, dengan lebih separuh daripada mereka berusia di bawah enam tahun. Taawon kini menjaga 20,000 daripada jumlah itu.
“Mereka juga memerlukan sokongan mental dan psikologi kerana kebanyakannya terjaga dalam ketakutan akibat bunyi pengeboman dan mengalami trauma yang teruk. Taawon komited untuk terus menyokong mereka sehingga mencapai usia 18 tahun,” katanya.
Bagi kebanyakan kanak-kanak itu, malam mereka dihantui bunyi letupan dan kehilangan ahli keluarga, manakala pagi bermula tanpa ibu bapa sebagai tempat bergantung dan mendapatkan ketenangan.
“Kanak-kanak adalah kumpulan paling rentan di Gaza. Taawon mahu mewujudkan persekitaran yang selamat supaya mereka dapat membesar dalam kehidupan yang bermaruah,” tambahnya.
Menurut Emtairah, Taawon menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) minggu lepas bagi menyokong usaha kebajikan anak yatim piatu.
Selain bantuan kemanusiaan, Taawon turut berdepan satu lagi rintangan -- memelihara identiti dan sejarah Palestin di tengah-tengah pemindahan paksa penduduk serta pendudukan selama berdekad-dekad.
Ketua Pengarah Muzium Palestin Amer Shomali berkata muzium yang dibuka pada 2016 dan dibina oleh Taawon di Tebing Barat itu diwujudkan bagi memelihara dan mengetengahkan naratif Palestin selepas muzium negara asal mereka di Baitulmuqaddis hilang susulan pendudukan Israel.
“Muzium negara kami berada di Baitulmuqaddis, namun apabila Israel mengambil alih dan menduduki Baitulmuqaddis, mereka mengawal serta merampas muzium dan koleksinya. Beberapa tahun kemudian, kami membuka muzium ini bagi mengisi kekosongan itu,” katanya.
Menurut Shomali, Muzium Palestin merupakan kes yang amat unik kerana kebanyakan koleksi serta hasil karya budaya rakyat Palestin telah dirampas dan dijarah oleh tentera Israel sejak 78 tahun lalu.
Shomali menyifatkan Muzium Palestin sebagai tidak seperti muzium lain di dunia -- sebuah muzium yang ramai rakyat Palestin sendiri tidak berpeluang untuk mengunjunginya.
“Bagi Muzium Palestin, kebanyakan pengunjung tidak dapat mengunjungi muzium itu. Malah rakyat kami sendiri, diaspora Palestin di seluruh dunia dan di kem-kem pelarian, tidak mempunyai hak untuk melawat Palestin serta tidak dapat mengunjungi muzium itu.
“Namun begitu, kami terus menjelajah ke seluruh dunia untuk berkhidmat kepada komuniti kami. Kami adalah sebuah muzium yang unik. Muzium ini lebih banyak "mengembara" ke seluruh dunia berbanding jumlah pengunjung yang datang ke muzium. Kami pernah ke Scotland, Jepun dan Mexico.
“Kini kami sedang berbincang dengan organisasi dan galeri di Malaysia untuk meneroka idea menubuhkan sesuatu seperti muzium satelit Palestin di Kuala Lumpur,” kata Shomali.
Antara idea yang dibincangkan ialah pengalaman maya yang membolehkan rakyat Malaysia berjalan melalui Baitulmuqaddis, Bethlehem dan Nazareth secara maya sambil mempelajari kisah di sebalik tanah serta rakyatnya.
“Ini hanyalah lawatan pertama Taawon, akan ada lagi lawatan selepas ini. Pada penghujung tahun ini, Festival Filem Palestin-Kuala Lumpur akan diadakan,” tambahnya.
Delegasi itu turut melawat Seri Negara untuk mempelajari perjalanan Malaysia menuju kemerdekaan -- satu lawatan yang membangkitkan rasa kagum dan kerinduan dalam kalangan wakil Palestin.
Terharu dengan sejarah yang tersimpan di Seri Negara, delegasi itu menyatakan harapan agar suatu hari nanti Palestin juga akan memiliki tempat sendiri untuk menceritakan kisah mereka secara bebas.
“Semoga suatu hari nanti, selepas berakhirnya pendudukan, Palestin akan mempunyai Seri Negaranya sendiri untuk menceritakan kisah kami,” kata Shomali.
-- BERNAMA