Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Ringgit kebanyakannya ditutup tinggi berbanding mata wang utama namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila peserta pasaran menunggu perkembangan lanjut berkaitan dengan rundingan Asia Barat antara AS dan Iran.
Pada 6 petang, ringgit turun sedikit kepada 3.9745/9785 berbanding dolar AS daripada 3.9720/9770 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran masih menunggu perkembangan lanjut mengenai perang di Asia Barat memandangkan rundingan antara AS dan Iran diteruskan.
“Sementara itu, harga minyak mentah WTI dan Brent masing-masing turun 0.15 peratus dan 1.51 peratus kepada US$108.50 setong dan US$110.41 setong susulan peningkatan harapan terhadap penyelesaian perang itu,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, awal hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjelaskan inflasi Malaysia yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.9 peratus pada April 2026 dengan mata indeks menokok kepada 136.9 daripada 134.3 pada bulan sama tahun lepas.
DOSM memaklumkan bagi perbandingan kadar inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada April 2026 adalah lebih rendah daripada inflasi di Filipina, Vietnam, Thailand, Repubik Korea dan Indonesia.
Pada akhir dagangan, ringgit kebanyakannya mencatatkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4980/5006 daripada 2.4991/5024 ketika ditutup pada Isnin, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6180/6226 daripada 4.6214/6272.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound British kepada 5.3282/3336 daripada 5.3078/3145.
Pada masa sama, mata wang tempatan merekodkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Unit domestik lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.1022/1055 daripada 3.1036/1078 semalam, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.4/224.8 daripada 224.8/225.1.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.1719/1898 daripada 12.1646/1848, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.43/6.45.
-- BERNAMA