AM

Lebih 50,000 Petisyen Global Sokong Aktivis GSF 2.0 Dibebaskan - KP SNCC

19/05/2026 08:05 PM

SEPANG, 19 Mei (Bernama) -- Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza semakin mendapat perhatian antarabangsa apabila 49 ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan menggesa tindakan lebih tegas diambil susulan kapal flotila dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF).

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pihaknya menerima laporan kumpulan ahli Parlimen EU itu telah mengeluarkan satu kenyataan mendesak Presiden Kesatuan Eropah mengambil langkah lebih drastik susulan tindakan terhadap aktivis kemanusiaan berkenaan.

"Dunia juga sedang bangkit. Sebentar tadi saya menerima laporan bahawa 49 ahli Parlimen Kesatuan Eropah telah mengeluarkan satu kenyataan mendesak Presiden Kesatuan Eropah melakukan tindakan lebih drastik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut dimaklumkan bahawa lebih 50,000 petisyen dari seluruh dunia telah dihantar kepada Menteri-Menteri Luar pelbagai negara sebagai tekanan antarabangsa bagi memastikan isu berkenaan diberikan perhatian.

Sani Araby berkata perkembangan itu menunjukkan masyarakat antarabangsa kini semakin lantang menyuarakan solidariti terhadap isu Gaza.

"Ini menunjukkan bahawa kita kini berada dalam fasa memecah kebuntuan dan saya kira secara tidak langsung juga berada dalam fasa memecah kepungan," katanya.

Beliau juga menyeru kerajaan Malaysia terus mendesak agar 350 aktivis kemanusiaan GSF termasuk 25 rakyat Malaysia yang telah diculik di perairan antarabangsa dibebaskan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memaklumkan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan pemimpin negara-negara Eropah termasuk Turkiye, Sepanyol dan lain-lain bagi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera melalui usaha diplomatik bersepadu," katanya.

Beliau berkata SNCC menegaskan bahawa semua aktivis mesti dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, penganiayaan atau pelanggaran hak asasi, serta tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559098