AM

JIM Perlu Perkukuh Keupayaan Risikan Tangani Ancaman Sindiket - Saifuddin Nasution

19/05/2026 06:02 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) perlu memperkukuhkan keupayaan perisikan dan perancangan strategik bagi mendepani ancaman sindiket rentas sempadan melibatkan pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata JIM perlu mempunyai kemampuan untuk membaca pola migrasi global, memahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan dan membuat unjuran risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.

“Sindiket hari ini tidak lagi beroperasi secara konvensional. Mereka menggunakan pasport yang dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa untuk mengaburi penguatkuasaan imigresen. 

“Laluan migrasi tidak teratur hari ini telah berkembang menjadi satu ekosistem operasi yang sentiasa berubah mengikut tekanan penguatkuasaan dan peluang yang tersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia bagi Tahun 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Saifuddin Nasution berkata JIM juga perlu berada beberapa langkah di hadapan ancaman semasa, termasuk membina budaya kerja yang sentiasa berjaga-jaga terhadap perubahan global, tangkas dalam membuat keputusan dan fleksibel dalam menyesuaikan operasi mengikut realiti semasa.

“Kita tidak boleh lagi bekerja menggunakan pendekatan yang statik sedangkan ancaman hari ini bergerak pantas, bersifat transnasional dan menggunakan teknologi yang semakin canggih. 

“Cabaran terbesar imigresen moden hari ini adalah bagaimana untuk mencari keseimbangan antara fasilitasi dan penguatkuasaan, keterbukaan dan keselamatan serta kecekapan dan integriti.

“Inilah sebabnya kerajaan memberi penekanan besar kepada reformasi dan transformasi sistem imigresen negara. Saya melihat masa depan imigresen negara perlu dibina berasaskan prinsip Smart, Secure and Seamless Immigration,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JIM atas pelbagai kejayaan dikecapi pada 2025, antaranya peningkatan kedudukan Pasport Malaysia Antarabangsa daripada tangga ke-10 pada 2024 ke tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia. 

“JIM berjaya mengurus lebih 115 juta pergerakan keluar masuk melibatkan warganegara dan bukan warganegara di seluruh pintu masuk negara.

“JIM juga berjaya menguruskan kemasukan ketua-ketua negara dan delegasi asing sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 tanpa sebarang insiden yang menjejaskan reputasi Malaysia,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata JIM turut berjaya merekodkan pungutan hasil sebanyak RM5.2 bilion pada 2025, satu pencapaian yang mencerminkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan serta komitmen tinggi seluruh warga JIM di semua peringkat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559042