PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Rendah

19/05/2026 05:56 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa, didorong oleh penurunan harga minyak mentah dan dolar AS yang lebih kukuh dalam sentimen bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak menyusut pada Selasa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan bahawa beliau telah menghentikan serangan yang dirancang ke atas Iran bagi membolehkan rundingan untuk menamatkan konflik di Asia Barat.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 1.71 peratus kepada US$110.22 setong.

Katanya sentimen pasaran turut terjejas oleh ketidakpastian mengenai prospek kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan kesan inflasi daripada konflik Asia Barat.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kebimbangan mengenai bekalan getah yang terhad, optimisme dalam ekonomi China dan harapan terhadap perjanjian damai Asia Barat,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menurun tiga sen kepada 890 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot lima sen kepada 775.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559041