JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Sita 291 Kenderaan Barangan Dalam Operasi Penguatkuasaan 2025 Sehingga April Tahun Ini

19/05/2026 04:54 PM

NILAI, 19 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita sebanyak 291 kenderaan barangan, menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan sepanjang tempoh tahun lepas sehingga April tahun ini.

Pengarah JPJ negeri Jasyindar Singh Shindu berkata daripada jumlah itu, 245 kes disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan 46 kes disita bagi Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sebanyak 562 kes diambil tindakan di bawah Akta APAD 2010, manakala 153 kes lagi bagi tempoh Januari hingga April, antaranya melibatkan kesalahan lebih muatan, kesalahan syarat lesen pengendali dan kesalahan menghalang tugas anggota penguat kuasa,” katanya kepada pemberita pada Operasi Lebih Muatan di jalan kuari Labu-Nilai di sini hari ini.

Jasyindar berkata bagi kes dituduh di mahkamah, tujuh kes dikenakan denda melibatkan jumlah keseluruhan RM97,000.

Kes tersebut ialah lima kenderaan dilucut hak, denda dan pelepasan sementara bersyarat (satu), denda dan kenderaan dilepaskan (satu) manakala 13 lagi mendapat pelepasan sementara dan kes masih bicara bagi tempoh tersebut.

Secara keseluruhan, beliau berkata JPJ memeriksa 52,759 kenderaan barangan dan 13,813 diambil tindakan tahun lepas, manakala setakat awal tahun sehingga April sejumlah 14,133 kenderaan barangan diperiksa dan 2,475 daripadanya diambil tindakan dalam operasi dijalankan di seluruh negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata ancaman tonto atau orang tengah yang memberi maklumat, masih menjadi cabaran bagi penguatkuasaan di Negeri Sembilan.

“Ada pihak yang membayar ‘tonto’ untuk memantau operasi JPJ. Mereka memberi amaran awal kepada pihak tertentu bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata antara alasan diberikan oleh pemandu lori membawa lebih muatan ialah mereka mengejar komisen lebih tinggi, kerana jumlah muatan menentukan gaji dan komisen diterima daripada syarikat.

Jasyindar berkata kebanyakan kenderaan lebih muatan ini melibatkan barangan seperti pasir dan batu dan dua lokasi di Nilai.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558971