KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dengan kerjasama TikTok Shop hari ini melancarkan “TikTok Shop Live Hub Pahang” sebagai inisiatif strategik memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi konsep “shoppertainment”.
Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pembukaan TikTok Shop Live Hub terbaharu itu menjadikan keseluruhan 10 studio telah diwujudkan di lima lokasi, iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Johor, Kelantan dan Pahang.
Beliau berkata TikTok Shop memainkan peranan penting sebagai platform pemasaran digital dengan pencapaian setakat ini amat memberangsangkan dalam membantu usahawan tempatan memperluas pasaran produk mereka.
“Saya dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terkejut melihat kepantasan kita bergerak dalam memperkasakan PMKS menerusi platform digital ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran TikTok Shop Live Hub x TEKUN Nasional Negeri Pahang di sini hari ini.
Turut diadakan pada majlis itu penyampaian Anugerah Usahawan Bengkel Promosi Online dan Perniagaan TikTok Shop yang menyaksikan Pengasas Sanggar Collection KTN Mohamad Rizal Abdullah menang tempat pertama.
Tempat kedua Pengasas Qasyaa Siti Sya’erah Syafri, manakala Pengasas Butik Haji Umrah Assafwah Mohamad Asyraf Mohd Fuzei di tempat ketiga.
Abdullah Sani berkata gabungan pembiayaan TEKUN Nasional dan platform pemasaran digital TikTok Shop diyakini mampu melengkapkan ekosistem keusahawanan negara selain meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Strategik TikTok Shop Nur Azre Abdul Aziz berkata usahawan yang menggunakan fasiliti TikTok Shop Live Hub telah merekodkan hasil jualan kira-kira RM700,000 setakat ini.
Beliau berkata kebanyakan pengguna fasiliti berkenaan adalah usahawan baharu yang belum pernah membuat siaran langsung di TikTok.
“Kualiti siaran langsung di studio ini jauh berbeza kerana menggunakan kelengkapan profesional yang biasanya menelan kos puluhan ribu ringgit. Lebih menarik, fasiliti ini disediakan secara percuma hasil kerjasama antara TikTok Shop dan TEKUN Nasional,” katanya.
Nur Azre berkata TikTok Shop bersama TEKUN Nasional akan membuka sebuah lagi studio di Pulau Pinang tahun ini selain tiga hab mini di Sabah melibatkan Kimanis, Sandakan dan Tawau.
“Jika mengambil kira semua lokasi sedia ada termasuk tambahan di Sabah, jumlah keseluruhan studio di bawah TEKUN Nasional dijangka mencecah 15 buah menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Pada majlis sama, TEKUN Nasional turut menyampaikan cek pembiayaan kepada 10 usahawan bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.
Pengusaha pakaian Shortcurrent71, Jamaludin Mat Zawi, 40, dan Noor Fatihah Ramli, 38, berkata mereka kini berada dalam fasa memperluaskan operasi perniagaan susulan peningkatan permintaan menerusi TikTok.
“Permintaan di TikTok berkembang sangat pantas menyebabkan kami memerlukan modal pusingan yang lebih besar.
“Ketika ini kami hanya mampu menghasilkan sekitar 2,000 helai pakaian, namun dengan bantuan pembiayaan ini kami menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti sehingga 10,000 helai bagi memperluaskan dan mempelbagaikan produk,” katanya.
-- BERNAMA