KUCHING, 18 Mei (Bernama) -- Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 mencatat kemajuan fizikal keseluruhan 38.2 peratus setakat 30 April tahun ini, berbanding sasaran asal 44.8 peratus.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata perbezaan itu berpunca daripada beberapa faktor saling berkait termasuk isu prestasi kontraktor, penambahbaikan serta reka bentuk semula bagi beberapa jajaran projek khususnya di Laluan Merah, selain skala dan kerumitan kerja pengalihan utiliti bawah tanah.
“Operasi perintis KUTS dijadual bermula pada suku keempat tahun ini.
“Laluan perintis itu akan beroperasi dari Depoh Rembus, Samarahan ke Northbank (Stutong), sekali gus membolehkan rakyat merasai sendiri operasi sistem Transit Aliran Autonomi (ART) sebelum operasi komersial penuh dilaksanakan pada 2027,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Lee berkata fasa perintis itu juga akan menjadi tempoh ujian operasi penting bagi mengenal pasti dan menangani sebarang penambahbaikan teknikal, operasi atau perkhidmatan yang diperlukan sebelum sistem itu beroperasi sepenuhnya.
Katanya pemeriksaan penerimaan akhir bagi unit ART telah berjaya dilaksanakan dengan semua unit memenuhi piawaian teknikal dan operasi yang ditetapkan.
Beliau berkata Sarawak dijangka menerima empat unit ART dan 10 bas pengantara berkuasa hidrogen tahun ini bagi menyokong operasi perintis sistem tersebut.
Mengenai penambahbaikan kemudahan lintasan sempadan, Lee berkata Pos Imigresen Serikin yang sedang dalam pembinaan dijadual siap sepenuhnya menjelang penghujung 2027.
“Pos Imigresen itu akan terus memperkukuh hubungan rentas sempadan antara Serikin, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat serta barangan,” katanya.
-- BERNAMA