LABUAN, 18 Mei (Bernama) -- Pejabat Ahli Parlimen Labuan menyalurkan hampir RM300,000 bagi melaksanakan kerja pembaikan segera terhadap 33 rumah yang rosak akibat ribut seakan puting beliung yang melanda kawasan Perumahan MPL berhampiran Kampung Tanjung Aru pada 12 Mei lepas.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata kerja pembaikan dilaksanakan sejurus kejadian bagi memastikan keluarga terjejas dapat kembali ke rumah masing-masing secepat mungkin.
Beliau berkata tindakan pantas itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan respons yang cekap dan praktikal kepada penduduk yang rumah mereka rosak, khususnya melibatkan bumbung diterbangkan angin serta struktur rumah yang terjejas akibat tiupan angin kencang.
“Kami melakukan segala usaha untuk bertindak sepantas mungkin dalam memberikan respons segera terhadap keperluan penduduk yang terjejas. Kerja pembaikan dimulakan sejurus selepas kejadian dan kami menjangkakan ia dapat disiapkan minggu ini supaya penduduk serta keluarga mereka dapat pulang ke rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Suhaili berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga terjejas, yang kebanyakannya terpaksa menumpang sementara di rumah saudara-mara selepas kediaman mereka rosak.
Beliau berkata pejabat Ahli Parlimen itu turut memberikan pilihan kepada pemilik rumah untuk melantik kontraktor sendiri atau membenarkan kerja pembaikan diuruskan melalui pejabat Ahli Parlimen.
“Pendekatan ini bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan cepat dan mengikut keperluan setiap isi rumah yang terjejas,” katanya.
Seorang daripada pemilik rumah yang terjejas, Mohd Azahar Aziz, 36, berkata bantuan daripada pejabat Ahli Parlimen itu amat melegakan penduduk yang terkesan dengan kejadian ribut itu.
“Beliau (Suhaili) memberi pilihan sama ada kami mahu melantik kontraktor sendiri atau membenarkan pejabat Ahli Parlimen menguruskan kontraktor, namun kami menyerahkan kepada beliau.
“Perkhidmatan yang diberikan sangat cekap dan kerja pembaikan dilakukan dengan pantas… kami menjangkakan dapat pulang ke rumah minggu ini,” katanya.
Ribut seakan puting beliung yang berlaku kira-kira 9.40 malam pada 12 Mei itu merosakkan 33 rumah di kawasan Perumahan MPL, dengan beberapa bumbung diterbangkan angin, kenderaan rosak akibat dihempap objek dan pokok tumbang di kawasan berhampiran.
Kejadian itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan manakala beberapa penduduk terjejas terpaksa meninggalkan rumah dan tinggal sementara bersama saudara-mara.
-- BERNAMA