AM

Selangor Pertimbang Kenaikan Sewa PPR Lembah Subang 1, Tingkat Kualiti Penyelenggaraan

18/05/2026 04:13 PM

SHAH ALAM, 18 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan untuk menaikkan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya di sini secara berperingkat sebagai usaha meningkatkan kualiti penyelenggaraan prasarana di kawasan perumahan terbabit.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata perkara itu dibuat susulan pengambilalihan pengurusan PPR berkenaan oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

Beliau berkata kadar sewa bulanan ketika ini berjumlah RM124, namun jumlah kenaikan itu masih belum diputuskan sehingga sesi libat urus bersama penduduk dilaksanakan sepenuhnya.

“PPR ini yang melibatkan 3,000 penghuni perlu diselenggara dan kemudahan sedia ada dinaik taraf termasuk mengecat semula bangunan, pembersihan tangki air dan pembaikan lif,” katanya selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Penyerahan dan Pengambilalihan Pengurusan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerajaan negeri di sini hari ini.  

Beliau berkata kerajaan negeri juga menerima peruntukan RM2.3 juta daripada KPKT bagi tempoh setahun untuk membantu pengurusan dan penyelenggaraan di kawasan PPR itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M. Noor Azman Taib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Borhan berkata PHSSB yang berpengalaman mengendalikan program Smart Sewa akan memperkenalkan sistem lebih tersusun termasuk penggunaan kad akses dan kawalan parkir bagi memperkemas pengurusan di kawasan PPR terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga meneliti isu penyewa yang menyewakan unit kepada pihak lain dan mereka yang terlibat akan dipanggil sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita mendapati ramai yang menyewakan unit mereka kepada orang lain dan ini tidak adil kepada penduduk lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat itu berkata tindakan penguatkuasaan terhadap penternakan babi di Tanjung Sepat akan dilaksanakan bermula 1 Julai selepas tempoh enam bulan diberikan sebelum ini tamat selain terdapat pengusaha yang telah berpindah dan menutup operasi mereka.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558594