PORT DICKSON, 18 Mei (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan penambahbaikan ke atas syarat pengambilan perajurit muda bagi membuka peluang lebih luas kepada rakyat negara ini menyertai perkhidmatan ketenteraan.
Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata antara penambahbaikan yang diperkenalkan ialah peningkatan had umur kemasukan daripada 25 tahun kepada 30 tahun serta memberi peluang kepada mereka yang berkaca mata.
Beliau berkata syarat ketinggian minimum lelaki pula diturunkan kepada 1.57 meter berbanding 1.62 meter sebelum ini, manakala had Indeks Jisim Badan (BMI) pula ditetapkan hingga 28 berbanding sebelum ini 26.9.
"Penambahbaikkan ini sudah pun dilaksanakan yang bertujuan memperluaskan peluang kepada rakyat Malaysia yang berpotensi dan berkelayakan untuk menyertai perkhidmatan Tentera Darat. Setiap calon akan melalui proses penilaian dan latihan ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar memenuhi standard TDM diserap ke dalam perkhidmatan.
“Fokus utama TDM bukan hanya kepada jumlah anggota tetapi juga kualiti, kepakaran dan keseimbangan struktur tenaga manusia bagi memastikan setiap Kor dan Rejimen berada pada tahap kesiagaan yang optimum,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di sini hari ini.
Azhan berkata pendekatan itu juga mencerminkan komitmen organisasi tersebut untuk menjadi pasukan yang lebih inklusif, progresif dan mampan tanpa menjejaskan tahap profesionalisme serta kesiagaan tempur.
Beliau yakin penambahbaikan itu mampu meningkatkan antara 10 hingga 20 peratus permohonan baharu memandangkan setiap tahun 10,000 permohonan diterima, namun selepas melalui tapisan awal termasuk pemeriksaan kesihatan hanya kira-kira 3,000 calon berjaya melepasi syarat ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata TDM turut komited memperkukuh penyertaan wanita dalam perkhidmatan selaras dengan keperluan organisasi dan pembangunan keupayaan masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata beberapa bidang sesuai telah dikenal pasti untuk memperluaskan penglibatan wanita, terutamanya melibatkan kepakaran khusus bagi menyokong keberkesanan operasi serta kesiapsiagaan organisasi.
"TDM akan membuka pengambilan Perajurit Muda Wanita bagi kemasukan Julai ini dengan anggaran pengambilan 350 orang. Pengambilan ini dilaksanakan secara terancang bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan Tentera Darat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata TDM menyokong penuh pelaksanaan pelan tindakan holistik menerusi penubuhan Pasukan Petugas Antibuli oleh Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) bagi menangani budaya buli.
Azhan berkata pihaknya juga menubuhkan pasukan pemantau berikutan kebanyakan insiden buli dan dera berlaku di luar waktu kerja, selain memberi penerangan dan pemahaman kepada anggota mengenai gejala itu serta tindakan alternatif lain yang boleh diambil tanpa melibatkan unsur buli.
"Bagi jangka panjang kita turut menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan memantau secara holistik dan mikro bagi mengenal pasti kelemahan serta mencari ruang penambahbaikan dalam menangani isu ini.
"Ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM turut menjalankan kajian melibatkan kes bulis sejak 2022 bagi mengenal pasti corak kejadian, sekali gus merangka pelan mitigasi lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata setakat ini lebih 10 pegawai serta anggota tentera dikenakan tindakan tatatertib dan pemberhentian dalam perkhidmatan atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, Azhan berkata pegawai tentera terlibat dalam kes kemalangan maut di ibu negara bulan lepas kini dalam proses pemberhentian Tauliah Jangka Pendek, manakala anggota berpangkat koperal yang terlibat dalam kes pukul hingga menyebabkan kematian seorang anggota berpangkat prebet di Bentong, Pahang juga ditamatkan perkhidmatan pada 13 Mei lepas.
-- BERNAMA