KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Seramai kira-kira 10,000 usahawan India disasarkan untuk menerima manfaat daripada Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) 2026 melalui peruntukan pembiayaan sebanyak RM220 juta menjelang akhir tahun ini.
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Datuk Seri Gobalakrishnan Narayanasamy berkata setakat ini, kira-kira 2,000 usahawan telah menerima manfaat daripada program itu melibatkan pembiayaan berjumlah RM70 juta.
Katanya MAICCI juga akan menggerakkan siri jelajah di seluruh negara bagi membantu lebih ramai usahawan kecil dan sederhana India mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan yang disediakan.
“Melalui program ini, kita menyasarkan kira-kira 3,000 usahawan dapat dibantu dalam tempoh terdekat menerusi sembilan siri bengkel dan jelajah MAICCI.
“Selain itu, usahawan juga boleh terus berhubung dengan agensi pembiayaan yang terlibat. Secara keseluruhan, kita menjangka kira-kira 10,000 usahawan akan mendapat manfaat daripada peruntukan RM220 juta ini menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata program itu merupakan inisiatif strategik di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Program ini akan menjadi platform penting untuk mendekati usahawan pada peringkat akar umbi, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan belia, usahawan wanita serta koperasi India di seluruh negara,” katanya.
Timbalan Presiden MAICCI Datuk Dr AT Kumararajah berkata program jelajah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan PMKS India, malah berperanan memudah cara permohonan mereka kepada agensi pembiayaan terlibat.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, penyertaan melalui program anjuran dewan perniagaan dapat meningkatkan peluang kejayaan permohonan berbanding usahawan mengemukakan permohonan secara bersendirian.
“Ini kerana kita mempunyai pengalaman, latihan, persediaan dan ekosistem yang dapat membantu memudah cara permohonan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Gobalakrishnan meminta kerajaan memberi perhatian terhadap isu kekurangan pekerja asing, khususnya dalam sektor pembuatan serta makanan dan minuman yang semakin memberi tekanan kepada komuniti perniagaan.
Beliau berkata banyak perniagaan masih berdepan kesukaran mendapatkan kuota pekerja asing dan keperluan tenaga kerja dalam beberapa sektor juga semakin mendesak.
Dalam satu kenyataan lain, MAICCI memaklumkan sehingga 10 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM70 juta kepada hampir 2,000 usahawan India di seluruh negara menerusi inisiatif MUDRA.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan dana RM220 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi memperkasakan usahawan masyarakat India di Malaysia.
Antara agensi dan skim utama di bawah MUDRA termasuklah TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
-- BERNAMA