PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

18/05/2026 01:55 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari apabila sentimen pelabur lemah dalam persekitaran ketiadaan perjanjian yang konkrit dan pencapaian dasar antara China dan Amerika Syarikat (AS) berikutan lawatan Presiden AS Donald Trump ke China.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.60 mata atau 0.38 peratus kepada 1,733.62 daripada 1,740.22 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka meningkat 1.72 mata kepada 1,741.94 bergerak antara 1,731.11 dan 1,742.60 semasa sesi pagi.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 794 berbanding 312 manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,125 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.0 bilion unit bernilai RM1.32 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata amaran Presiden China Xi Jinping mengenai kemerdekaan Taiwan selain kedamaian sementara perdagangan yang masih belum menemui jalan penyelesaian terus mencetuskan sentimen mengelakkan risiko dalam pasaran kewangan global.

“Keadaan ini menyebabkan Wall Street ditutup kebanyakannya rendah apabila peniaga memutuskan untuk mengambil keuntungan khususnya bagi saham teknologi.

“Sementara itu, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat sedikit kepada 4.597 peratus dalam keadaan tekanan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,735 hingga 1,750 hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM9.06 dan Maybank susut dua sen kepada RM11.08 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing rendah lima sen kepada RM4.86 dan RM7.83. Tenaga Nasional pula tidak berubah pada RM14.54.

Bagi kaunter paling aktif, GIIB meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, Advance Synergy dan Top Glove masing-masing naik satu sen kepada 8.5 sen dan 79 sen, VS Industry susut setengah sen kepada 20 sen dan AirAsia X berkurangan tiga sen kepada RM1.12.

Bagi kaunter paling untung, Allianz Malaysia melonjak 26 sen kepada RM21.74, Westports meningkat 19 sen kepada RM6.00, Vitrox Corporation menokok 15 sen kepada RM6.14, Tong Herr Resources menambah 13 sen kepada RM1.75 dan Petronas Chemicals naik 11 sen kepada RM5.70.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle rendah RM4.60 kepada RM95.60, Malaysian Pacific Industries susut 96 sen kepada RM43.14, Batu Kawan berkurangan 54 sen kepada RM20.44, Petronas Gas rendah 34 sen kepada RM17.84 dan PPB Group berkurangan 28 sen kepada RM10.52.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 68.25 mata kepada 12,826.62, Indeks FBM Top 100 berkurangan 64.66 mata kepada 12,668.65, Indeks FBM Emas Shariah rendah 56.67 mata kepada 12,766.18, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 163.96 mata kepada 18,341.05 dan Indeks FBM ACE rendah 50.52 mata kepada 4,692.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 83.84 mata kepada 20,170.47, Indeks Tenaga rendah 3.17 mata kepada 805.72, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.58 mata kepada 199.37 tetapi Indeks Perladangan meningkat 20.59 mata kepada 8,606.02.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558484