RAUB, 18 Mei (Bernama) -- Tiga lelaki warga Korea Selatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menculik seorang lelaki senegara dan menuntut wang tebusan berjumlah USDT10 juta atau kira-kira RM39.7 juta, bulan lepas.
Tertuduh, Kwon Kyungryul, 28; Kwak Jaeil, 40, dan Kim Myeong Joon, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Korea di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menerusi jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa mencapai niat bersama untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak USDT10 juta selepas melarikan dan menahan seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 40 tahun secara salah di Kilometer 16, Jalan Genting Highlands, Bentong, pada 17 April lepas.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 374) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi membolehkan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Beliau berkata kes berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Korea Selatan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
-- BERNAMA