AM

Program IPR-INSAN Catat Jualan RM20.46 Juta, Peserta Raih Hasil Lebih RM2,000 Sebulan

16/05/2026 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INSAN) yang diperkenalkan Kementerian Ekonomi sejak 2023 mencatatkan jualan keseluruhan berjumlah RM20.46 juta.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata menerusi IPR-INSAN, sebanyak 1,125 mesin layan diri telah ditempatkan di seluruh negara yang mana 58 peratus daripada peserta program berjaya meraih hasil jualan melebihi RM2,000 sebulan.

"Melihat kepada kebolehlaksanaan program ini dan pada masa sama, kita tahu dari segi keadaan ekonomi ketika ini, kita kena terus pelbagaikan lagi ruang untuk rakyat menjana pendapatan terutamanya kumpulan sasaran.

"Maka sebab itu Kementerian Ekonomi telah berhubung dengan Menteri Agama untuk kita laksanakan kerjasama ini di peringkat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pada masa sama, untuk memastikan kelangsungan program ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP di bawah Program IPR-INSAN yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata kementeriannya juga akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk memanjangkan tempoh program tersebut bagi tempoh dua tahun lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menjana pendapatan.

Katanya, hasil pertemuan beliau dengan peserta IPR-INSAN di beberapa negeri termasuk Kedah, Johor dan Kuala Lumpur sebelum ini mendapati kumpulan sasaran terutamanya golongan asnaf telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka menerusi program tersebut.

Sementara itu, Zulkifli berkata menerusi inisiatif yang dirasmikan hari ini, MAIWP telah mengenal pasti 50 usahawan asnaf yang akan dibantu dengan modal mesin layan diri dan latihan kemahiran pengetahuan.

Katanya, melalui kerjasama itu, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin vending makanan serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan manakala MAIWP menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak  bagi membantu mereka menjana pendapatan secara mampan.

 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557880