AM

Kerjasama Kerajaan Persekutuan, Sabah Pastikan Bantuan Rakyat Lebih Menyeluruh - Mustapha

16/05/2026 04:28 PM

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah membolehkan pelbagai program pembangunan serta bantuan kebajikan disalurkan secara lebih menyeluruh, khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata kerajaan kekal komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui pelbagai inisiatif di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan inklusif, seimbang dan mampan.

"Dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), subsidi bahan api serta subsidi barangan keperluan asas bagi meringankan beban rakyat.

"Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat MADANI di Kampung Talungan, Telipok, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penganjuran program itu, Mustapha berkata ia bukan sekadar acara turun padang, tetapi berfungsi sebagai platform strategik bagi memastikan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih tepat dan berkesan kepada akar umbi.

"Dalam era digital dan lambakan maklumat hari ini, rakyat memerlukan sumber maklumat yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran berita tidak benar. Justeru, program seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh komunikasi antara kerajaan dan rakyat.

"Melalui mini karnival perkhidmatan kerajaan yang diadakan, rakyat dapat mengakses pelbagai kemudahan secara terus tanpa perlu berurusan di pejabat, sekali gus menjimatkan masa dan kos," katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata Program Santuni Rakyat yang diadakan serentak pada acara tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan yang digerakkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) melalui pendekatan Jelajah MADANI.

Beliau menjelaskan, pendekatan itu menekankan interaksi dua hala antara kerajaan dan rakyat dalam suasana yang lebih santai dan mesra, selari dengan tuntutan semasa yang memerlukan kerajaan menjadi lebih responsif serta dekat dengan denyut nadi rakyat.

"Dalam konteks hari ini, ketika rakyat berdepan dengan cabaran kos sara hidup dan perubahan ekonomi global, program sebegini amat relevan kerana ia membuka ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan dan berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557874