MIRI, 16 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,170 karton minuman keras bernilai lebih RM221,000 di perairan Limbang, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata rampasan itu dibuat pada 10.15 malam di kedudukan 0.1 batu nautika dari barat Jeti Limbang, hasil maklumat risikan dan operasi pemantauan rutin.
Beliau berkata pemeriksaan menemukan minuman keras berbalut plastik hitam disembunyikan secara tersusun dan dipercayai ditinggalkan penyeludup yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kesemua barang rampasan dipercayai untuk diseludup bagi pasaran tempatan yang mendapat permintaan tinggi berikutan musim perayaan yang bakal tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati rampasan itu dipercayai berkait aktiviti penyeludupan arak dari negara jiran dan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Katanya semua rampasan dibawa ke Kompleks Ibu Pejabat Maritim Zon Miri untuk dokumentasi dan laporan polis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA