GAYA HIDUP

Kesedaran Kesihatan Dorong Lelaki Dewasa Pilih Prosedur Berkhatan

16/05/2026 10:40 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) --  Amalan berkhatan atau bersunat lazimnya dikaitkan dengan kanak-kanak lelaki beragama Islam sebagai sebahagian daripada tuntutan agama dan penjagaan kebersihan sejak usia muda.

Namun, persepsi terhadap prosedur itu semakin berubah apabila tidak lagi dilihat sekadar tradisi, sebaliknya turut dipertimbangkan oleh lelaki dewasa atas faktor kesihatan, kebersihan dan keselesaan diri.

Seiring peningkatan kesedaran terhadap penjagaan diri, isu kesihatan intim lelaki juga semakin terbuka untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat moden.

Doktor perubatan estetik Dr Chen Tai Ho berkata trend itu bukan sahaja mula mendapat tempat di Malaysia, malah turut dilihat di beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan dan Filipina, apabila prosedur berkhatan semakin dianggap sebagai sebahagian daripada amalan kesihatan dan gaya hidup.

pic-2

Menurut beliau, dari sudut perubatan, prosedur bersunat mempunyai manfaat daripada aspek kebersihan dan kesihatan termasuk membantu mengurangkan risiko jangkitan pada bahagian intim.

“Namun begitu, masih ramai lelaki dewasa yang menangguhkan rawatan walaupun menyedari manfaat tersebut. Antara sebab utama ialah rasa takut, persepsi terhadap kesakitan serta kebimbangan mengenai tempoh pemulihan yang dianggap boleh mengganggu kerja dan rutin harian.

“Ada yang beranggapan apabila sudah dewasa, proses penyembuhan akan menjadi lebih lambat. Mereka juga takut berasa sakit dan bimbang tidak dapat bekerja seperti biasa,” katanya kepada Bernama pada taklimat media di Premier Clinic baru-baru ini.

pic-3

Beliau berkata satu lagi faktor yang sering menjadi penghalang ialah kurangnya pendedahan terhadap kaedah moden yang kini lebih cepat dan kurang invasif berbanding kaedah tradisional.

Menurutnya, teknologi seperti stapler circumcision atau ZSR yang mula digunakannya pada 2018 membantu menjadikan prosedur lebih ringkas, dengan kurang pendarahan serta tidak memerlukan jahitan.

“Apabila kita terangkan mengenai pilihan moden ini, ramai sebenarnya baru tahu dan menjadi lebih yakin untuk membuat keputusan,” katanya.

pic-4

Bagi Jonathan Chong, 39, beliau mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan menjalani prosedur tersebut, antaranya disebabkan pengalaman rakan-rakan yang membentuk persepsi negatif terhadap proses berkhatan.

“Kalau ikut cerita kawan-kawan, ramai kata proses tradisional mengambil masa lama untuk sembuh dan agak menyakitkan,” katanya.

Namun, faktor kebersihan akhirnya menjadi titik perubahan terutama apabila gaya hidup aktif serta tuntutan kerja dan perjalanan kadangkala menyukarkan penjagaan diri secara konsisten.

pic-5

“Bila kerap travel, kadang-kadang sukar untuk menjaga kebersihan dengan baik dan menyebabkan iritasi. Dari situ saya rasa penting untuk selesaikan perkara ini,” katanya.

Selepas mengetahui mengenai kaedah moden menggunakan teknologi ZSR yang menawarkan proses pemulihan lebih cepat dan lebih selesa, Chong akhirnya membuat keputusan untuk menjalani prosedur berkenaan.

-- BERNAMA 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557716