JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Embun 2.0: Alasan 'Lupa' Bawa Padah, 18 Peniaga Pasar Borong Dikompaun

16/05/2026 11:50 AM

​KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Terlupa memperbaharui perakuan alat timbang antara alasan tidak munasabah diberikan 18 peniaga yang dikenakan kompaun yang bernilai keseluruhan RM5,600 ketika Ops Embun 2.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi ini.

Tindakan itu diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur selepas pemeriksaan mengejut ke atas 382 premis, mendapati peniaga masih menggunakan alat timbang yang gagal ditentusahkan walaupun proses penentusahan itu sangat mudah dengan kos hanya puluhan ringgit.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes direkodkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 susulan kegagalan peniaga menentusahkan alat timbangan, manakala dua lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan senarai menu yang jelas di gerai makan.

“Sebagai inisiatif memudah cara, KPDN bersama pihak Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd sebelum ini telah turun padang menyediakan perkhidmatan penentusahan alat timbang secara berpusat di pasar borong ini pada 1 dan 22 April lepas.

​”Justeru, tiada lagi alasan untuk mereka menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah, rosak atau tidak tepat bagi tujuan perdagangan kerana manipulasi timbangan seperti menipu berat barangan adalah satu ketidakadilan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, hari ini.

Pelaksanaan Ops Embun pertama pada 17 Mac lepas telah merekodkan 26 kes pelbagai kesalahan melibatkan peniaga hasil pemeriksaan mengejut ke atas 500 premis di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu.

Mohd Sabri berkata walaupun jumlah kes menunjukkan penurunan berbanding pelaksanaan operasi siri pertama, KPDN kekal dengan pendirian tiada kompromi terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan.

Beliau berkata operasi yang bermula 1 pagi itu dilaksanakan dengan kekuatan 50 pegawai dan anggota KPDN serta Jabatan Imigresen.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557735