AM

Penduduk Resah Jambatan Baharu Kampung Pasir Era Belum Siap, Terus Bergantung Khidmat Feri

15/05/2026 01:08 PM

KUALA KRAI, 15 Mei (Bernama) -- Lebih 3,000 penduduk di lima kampung di seberang Sungai Kelantan di sini resah menantikan jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang siap walaupun pembinaannya telah dimulakan sejak Ogos 2021.

Ketika ini, penduduk lima kampung tersebut, iaitu Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Buyong, Taku Blok dan Taku Estet tiada pilihan melainkan terus bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai tersebut seperti mana puluhan tahun lepas selagi jambatan yang dijanjikan belum siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pasir Kelang Roslan Mamat berkata rata-rata penduduk memilih menggunakan feri kerana menjimatkan masa untuk ke bandar Kuala Krai berbanding jalan dari Kampung Buyong ke Tanah Merah yang mengambil masa hampir satu jam.

"Sekarang ini jambatan sementara hampir siap selepas dua kali runtuh akibat banjir dan kami harap perkara sama tidak berulang, manakala projek jambatan baharu kekal mengambil masa lebih lama lagi untuk siap.

"Saya harap pihak berwajib sentiasa memantau projek ini kerana sudah lama kami penduduk kampung di sini menanti jambatan baharu untuk digunakan dengan lebih selamat," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Taku Blok Mohd Nor Abu Bakar, 59, berkata cukup menyiksakan untuk menantikan jambatan baharu itu siap terutama ketika musim tengkujuh kerana feri tidak dapat digunakan sehingga menjejaskan rutin harian.

"Walaupun jambatan sementara sudah nampak seperti hendak siap dan ada perubahan dari segi gerak kerja, tetapi saya masih berharap supaya jambatan baharu juga dapat disiapkan dengan segera.

"Apabila siap jambatan baharu, saya yakin lebih banyak limpahan pembangunan dapat dibawa ke kawasan kami sekali gus merancakkan ekonomi penduduk," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata projek membina jambatan antara Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang di sini yang bermula pada 19 Ogos 2021 berdepan cabaran apabila bencana banjir dan arus sungai yang deras mengakibatkan kerosakan pada temporary working platform awal Disember 2025 sehingga memberi kesan kepada kelancaran pembinaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557273