Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid
ALMETYEVSK (Rusia), 14 Mei (Bernama) -- Tatneft, antara lima syarikat minyak terbesar di Rusia, terbuka untuk meneroka potensi kerjasama dalam petrokimia, penapisan dan inisiatif tenaga mampan dengan Petronas.
Menyifatkan syarikat minyak nasional itu sebagai syarikat global bereputasi dengan keupayaan kukuh terutamanya dalam operasi luar pesisir, Pengarah Besar dan Pengerusi Lembaga Pengurusan (Ketua Pegawai Eksekutif) Tatneft Nail Ulfatovich Maganov berkata kepakaran Tatneft sebahagian besarnya tertumpu pada operasi di darat.
Bagaimanapun, katanya masih terdapat peluang kerjasama yang tinggi dengan Malaysia dalam segmen hiliran dan berkaitan kemampanan.
“Petronas ialah sebuah syarikat bertaraf dunia dengan keupayaan teknologi tinggi dan reputasi yang kukuh.
“Kedua-dua pihak berpotensi bekerjasama dalam bidang berkaitan penapisan minyak, kompleks petrokimia, medan minyak matang serta inisiatif ekonomi hijau dan ekonomi kitaran sejajar dengan minat yang meningkat terhadap kerjasama industri rentas sempadan dalam sektor tenaga.
“Kami bersedia untuk meneroka kerjasama melibatkan pembangunan rendah karbon, teknologi lestari dan inisiatif ekonomi kitaran berikutan ini merupakan cabaran global yang dapat menyatukan pengeluar tenaga pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian dalam lawatan ke operasi bioteknologi syarikat itu di Almetyevsk pada Rabu bersempena dengan Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-17 'Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026' di Kazan.
Maganov menegaskan bahawa pengeluar tenaga di seluruh dunia berkongsi cabaran operasi dan keutamaan kemampanan terutamanya dalam mengimbangi pembangunan tenaga konvensional dengan peralihan ke arah model ekonomi yang lebih hijau dan boleh dikitar semula.
Beliau turut mendedahkan bahawa Tatneft telah terlibat dalam projek yang terletak berhampiran operasi berkaitan Petronas di Asia Tengah, menunjukkan kedua-dua pihak telah saling mengenali dalam landskap tenaga serantau yang lebih luas.
“Selain sektor tenaga, Malaysia kekal sebagai rakan niaga yang menarik untuk kerjasama masa depan berdasarkan pembangunan perindustrian dan kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN,” katanya.
Almetyevsk, sebuah bandar yang dikenali sebagai hab minyak utama Rusia dan ibu pejabat Tatneft, terletak lebih tiga jam perjalanan dari Kazan, ibu negeri Tatarstan, lokasi KazanForum diadakan.
Sesi perbincangan media itu dianjurkan di bawah Strategic Vision Group “Russia-Islamic World”.
Tatneft mempunyai operasi meliputi pengeluaran minyak dan gas, penapisan, petrokimia, pembuatan tayar, penyelesaian tenaga, bioteknologi serta teknologi perindustrian yang berkaitan.
Menurut maklumat yang dipaparkan di laman webnya, jumlah rizab minyak Tatneft mencecah 10.5 bilion tan pada 2025, menyediakan sumber yang mencukupi untuk mengekalkan tahap pengeluaran semasa selama lebih dua abad.
-- BERNAMA