EKONOMI

Keuntungan Bersih Keyfield Naik 171 Peratus Kepada RM56.14 Juta Pada Suku Pertama

14/05/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Keyfield International Bhd melonjak sebanyak 171 peratus kepada RM56.13 juta bagi suku pertama 2026, berakhir pada 31 Mac 2026 berbanding RM20.67 juta pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut susut 45.6 peratus kepada RM47.18 juta daripada RM86.74 juta pada suku pertama 2025, disebabkan oleh aktiviti penyewaan yang berkurangan sebanyak 55 peratus kepada RM32.7 juta.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Keyfield International mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham pada suku pertama 2026 yang akan dibayar pada 16 Jun, 2026.

Ketua Pegawai Kewangannya, Eugene Kang berkata pendapatan kapal terjejas oleh penggunaan lebih rendah pada suku tersebut kerana kebanyakan kapal disewa pada suku pertama adalah kapal tunda dan bekalan (AHTS) bagi pengendalian kapal sauh, justeru permintaan dan penggunaan cenderung untuk kekal stabil sepanjang tahun.

“Kumpulan ini juga menghadapi kos operasi lebih tinggi terutamanya perbelanjaan bahan api, susulan kenaikan harga bahan api selepas tercetusnya perang pada awal bulan Mac.

"Harga bahan api meningkat sejurus selepas perang dan kekal tinggi. Sisi positifnya ialah sebaik sahaja kapal-kapal itu disewa dari awal April dan seterusnya, kebanyakan kos bahan api telah ditanggung oleh pelanggan," katanya.

Sementara itu, kadar penggunaan menurun kepada 36.1 peratus untuk armadanya pada suku pertama 2026 daripada 44.1 peratus sebelumnya.Kang berkata Keyfield menjangkakan penggunaan akan meningkat secara progresif sepanjang suku akan datang, diunjurkan sekitar 70 peratus pada suku kedua dan melebihi 80 peratus pada suku ketiga, dan berpotensi mencapai 90 peratus, walaupun dok kering berjadual untuk satu atau dua kapal mungkin mengehadkan kemungkinan mencapai penggunaan penuh.

Beliau juga menjangkakan prestasi yang lebih baik pada suku keempat kerana projek yang dimulakan lewat tahun ini dijangka terus menyumbang pendapatan menjelang akhir tahun.

Mengenai operasi luar negaranya, Kang berkata Timur Tengah kekal sebagai pasaran utama kumpulan untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV), memandangkan peranan dominan rantau ini dalam industri minyak dan gas global.

"Kami kini mempunyai lima kapal di Timur Tengah, dengan empat sudah beroperasi. Sebuah kapal, pada asalnya dijadualkan memulakan operasi pada akhir Mac atau awal April telah ditangguhkan hingga akhir Mei atau awal Jun disebabkan oleh kekangan bekalan.

“Secara keseluruhan, operasi Timur Tengah kami tidak terjejas oleh konflik tersebut kerana kapal-kapal tersebut tidak melalui Selat Hormuz," katanya.

Walaupun Timur Tengah penting untuk mempelbagaikan asas pendapatannya, Kang berkata pengembangan lebih lanjut ke rantau ini membawa beberapa risiko dalam situasi semasa.

Mengenai momentum peningkatan pemberian tender tempatan, beliau berkata peluang muncul di semua rantau, walaupun Semenanjung Malaysia dan Sabah kini menyaksikan bahagian tender yang lebih besar berbanding dua hingga tiga tahun lepas.

Beliau berkata bahawa walaupun Sarawak terus menyumbang dari segi kontrak, tumpuan aktiviti tender telah beralih lebih kepada Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557102