DUNIA

China, UNESCO Tandatangan MoU Tingkatkan Kerjasama Strategik

14/05/2026 04:18 PM

BEIJING, 14 Mei (Bernama-CMG) -- China dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Peningkatan Kerjasama Strategik di sini pada Rabu.

MoU yang merangkumi lima bahagian utama itu menetapkan bahawa China dan UNESCO akan secara aktif menggalakkan kerjasama dalam bidang yang substantif, bersama-sama mengamalkan Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, Inisiatif Tamadun Global dan Inisiatif Tadbir Urus Global yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping.

Kedua-dua pihak juga akan berusaha menggalakkan pertukaran dan pembelajaran antara tamadun berlainan serta membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Menurut MoU itu, agenda utama kerjasama bagi tempoh 2026 hingga 2029 melibatkan bidang berkaitan Afrika, kesaksamaan gender, golongan belia sebagai kelompok keutamaan serta negara pulau kecil yang membangun.

China dan UNESCO akan terus memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang substantif seperti transformasi pendigitalan pendidikan, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan perguruan, pendidikan vokasional, pendidikan tinggi, penyelidikan sains asas, sains terbuka, kecerdasan buatan(AI), serta tadbir urus sains dan teknologi global.

Kerjasama itu turut melibatkan Dekad Antarabangsa Sains untuk Pembangunan Mampan, program sains besar antarabangsa, dialog dan pertukaran antara budaya serta tamadun, warisan dunia, warisan budaya tidak ketara, perlindungan kepelbagaian budaya, Program Maklumat Kemasyarakatan, Ingatan Dunia dan etika kerja warga media.

Kedua-dua pihak turut menandatangani Perjanjian Dana Amanah China untuk memperkukuh pembinaan kapasiti pelaksanaan Konvensyen Warisan Dunia di Afrika dan rantau Asia-Pasifik.

--BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556915