AM

Kemerosotan Kualiti Air Sungai Perlu Ditangani Dengan Tindakan Lebih Proaktif - Fadillah

14/05/2026 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kemerosotan kualiti air sungai negara perlu ditangani dengan tindakan lebih proaktif berasaskan pencegahan serta disokong penguatkuasaan konsisten dan akauntabiliti jelas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata pendekatan reaktif tidak lagi memadai sebaliknya risiko pencemaran perlu dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum menjejaskan kualiti air dan bekalan kepada rakyat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata penggunaan teknologi seperti sistem pemantauan masa nyata, telemetri dan Internet Pelbagai Benda (IoT) perlu diperluaskan bagi membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

“Dunia kini bergerak ke arah pengurusan sungai berasaskan daya tahan iklim, teknologi pintar dan tadbir urus bersepadu, dan negara perlu bergerak seiring agar pengurusan sungai kekal relevan, responsif dan berdaya tahan.

“Sungai tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai saliran air, tetapi sebagai aset strategik negara yang menyokong bekalan air, keselamatan makanan, biodiversiti, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu hari ini Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang memberi fokus kepada pencegahan pencemaran, peningkatan kualiti air sungai dan pengukuhan pengurusan sumber air negara di Menara PETRA, Putrajaya, hari ini.  

Beliau berkata fokus utama kementerian itu tahun ini adalah terhadap pelaksanaan yang mana setiap cadangan dan inisiatif perlu disusuli dengan tindakan jelas, garis masa tegas serta akauntabiliti pelaksana yang khusus.

Katanya, keutamaan bukan lagi menambah perancangan tetapi memastikan setiap keputusan yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara berkesan dan menghasilkan impak yang boleh diukur.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan itu menuntut disiplin, komitmen dan tanggungjawab yang lebih tinggi di semua peringkat termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu mendengar dasar diumumkan, tetapi mahu melihat hasil yang nyata - sungai yang lebih bersih, bekalan air yang lebih terjamin dan tindakan tegas terhadap pihak yang mencemarkan sumber air negara.

“Semua pihak perlu berani melakukan perubahan dalam merancang, menguatkuasa dan mengurus sumber air negara,” katanya.

Beliau berharap mesyuarat itu akan menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih tersusun, pantas dan berfokus dalam menangani kemerosotan kualiti air sungai negara.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556937