GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Penguatkuasaan terhadap pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna atau no single-use plastic (NSUP) di Pulau Pinang bermula 1 Sept ini hanya akan melibatkan lapan kategori premis yang telah bersetuju menyertai inisiatif tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata ia melibatkan pasar raya besar, pasar raya, gedung serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi dan klinik, manakala kategori lain akan diperkenalkan secara berperingkat pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, beliau berkata penjaja dan pasar awam dikecualikan buat masa ini daripada pelaksanaan larangan tersebut dengan mengambil kira kos operasi yang ditanggung, khususnya dalam pengendalian bahan basah dan segar, serta keperluan penggunaan beg plastik kalis air untuk barangan seperti ikan.
“Kita faham mereka tidak boleh beralih sepenuhnya pada ketika ini kerana kos alternatif masih tinggi dan belum mencapai skala ekonomi. Buat masa sekarang, permintaan masih rendah menyebabkan harga beg alternatif agak mahal.
“Jadi, mereka tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan hingga alternatif yang sesuai dan berpatutan dapat diperkenalkan sebelum pelaksanaan penuh dibuat pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan salah faham yang dibangkitkan sesetengah pihak berkenaan penguatkuasaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna oleh kerajaan negeri.
Sundarajoo berkata kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pembekal termasuk Persatuan Pembekal Plastik Malaysia Pulau Pinang bagi memperluas penggunaan beg alternatif yang lebih mesra alam seperti produk biokompos serta beg biodegradasi yang lebih mudah terurai dan bebas mikroplastik.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menggalakkan orang ramai untuk membudayakan amalan membawa beg guna semula semasa membeli-belah.
“Bagi menyokong perubahan tingkah laku serta meningkatkan akses kepada alternatif tersebut, sebanyak 55,000 beg tote guna semula telah diedarkan kepada orang awam di bawah Kempen NSUP setakat ini,” katanya.
-- BERNAMA