EKONOMI

Sektor Pembinaan Meningkat 8.5 Peratus Kepada RM46.5 Bilion Pada Suku Pertama 2026 - DOSM

13/05/2026 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Sektor pembinaan mengekalkan momentum peningkatan pada suku pertama 2026 dengan pertumbuhan 8.5 peratus kepada RM46.5 bilion, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Menurut DOSM dalam kenyataan hari ini, prestasi ini didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 24.6 peratus dan 12.7 peratus. 

Subsektor bangunan kediaman turut merekodkan peningkatan sebanyak 6.1 peratus.

“Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam kekal positif dengan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus,” menurutnya.

Daripada nilai kerja pembinaan sebanyak RM46.5 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2026, sejumlah RM15.9 bilion atau 34.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, yang didorong terutamanya oleh aktiviti pembinaan projek utiliti (RM8.3 bilion) serta jalan raya dan landasan kereta api (RM6.1 bilion). 

 Menurut DOSM, nilai kerja bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM13.9 bilion (sumbangan: 29.9 peratus) dan RM10.5 bilion (sumbangan: 22.5 peratus).

Subsektor aktiviti pertukangan khas pula menyumbang sebanyak RM6.2 bilion (13.3 peratus), yang sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti penyediaan tapak (RM1.4 bilion) manakala aktiviti pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin serta pemasangan elektrik masing-masing merekodkan RM1.2 bilion.

Menurutnya sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, dengan peningkatan sebanyak 13.2 peratus yang didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas (28.8 peratus) dan bangunan bukan kediaman (13.1 peratus). 

Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM30.5 bilion atau 65.6 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kerja pembinaan manakala sektor awam menyumbang sebanyak RM16.0 bilion atau 34.4 peratus.

 Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman, masing-masing berjumlah RM1.7 bilion dan RM2.5 bilion.

Sektor pembinaan mengikut negeri menunjukkan lebih daripada 50.0 peratus daripada nilai kerja pada suku pertama 2026 tertumpu di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Nilai kerja di Selangor berjumlah RM10.9 bilion atau 23.4 peratus, dengan subsektor bangunan bukan kediaman (RM4.1 bilion) dan kejuruteraan awam (RM2.6 bilion) menyumbang paling besar. 

DOSM memaklumkan Johor menduduki tempat kedua dengan RM9.5 bilion atau 20.4 peratus, yang sebahagian besarnya disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.6 bilion).

Menurutnya nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan pula berjumlah RM4.8 bilion (10.3 peratus).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556349